Lumba haram - pemandu Myvi, Jazz didakwa

oleh Mohamad Hanif|
Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar daripada kenderaan, di tengah lebuh raya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nabil Hariz Jefridin, 23, dan B. Thayalan, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memandu kereta masing-masing secara berbahaya kepada orang awam di laluan  Ayer Keroh ke Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 3.21 petang, 10 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh bagaimanapun peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil yang mewakili Nabil Hariz memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar universiti dan tidak mempunyai pendapatan.

Thayalan yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan, dalam kejadian di Lebuhraya PLUS berhampiran Senawang.

-- BERNAMA

Add new comment

Careta Ad