Lubang Benam - KM78 Jalan Gua Musang-Lojing dibuka sebelum 28 Mac

oleh Penyumbang Rencana|
foto Berita Harian
Laluan di Kilometer (KM) 78 Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, yang terjejas akibat tiga lubang benam, dijangka dibuka kepada kenderaan ringan sebelum 28 Mac ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan kini sudah mencapai 50 peratus kemajuan.

“Kos pembaikan untuk lubang benam serta banjir lumpur di laluan ini dianggarkan sebanyak RM2 juta.

“Kini, pembaikan telah siap 50 peratus dan pihak syarikat konsesi sedang membina pembentung di kawasan terbabit.

“Kita jangkakan sebelum Hari Raya Aidilfitri, satu lorong akan dibuka bagi memudahkan perantau pulang berhari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Menaik Taraf Fasiliti Pembiakan Spesies Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Menurut Ahmad, sehingga 28 Mac, semua kenderaan masih tidak dibenarkan melalui laluan terbabit sehingga dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sebagai alternatif, pengguna boleh menggunakan laluan Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh-Cameron Highlands.

“Tiga lubang benam di laluan ini sudah ditutup dan proses pembaikan sedang giat dijalankan,” katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan perkara ini kepada Perbadanan Bekalan Air…
Berita Domestik
Menurutnya, pasukan JKR kini dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan kerja-kerja…
Berita Global
Sebuah klip video yang tular di media sosial menunjukkan kereta berkenaan hampir tenggelam…