Astro Awani melaporkan bahawa Nur Sophia Jesmine Hasmin, berusia 25 tahun, sepatutnya menaiki LRT dari Stesen LRT Sri Rampai untuk ke pejabat melalui Stesen LRT USJ 7 dengan laluan Kelana Jaya.
Setelah dimaklumkan oleh pegawai polis bantuan di stesen berkenaan, Nur Sofia terpaksa mencari alternatif lain dan meminta bantuan bapanya untuk menjemput dan menghantarnya ke pejabat dengan menaiki kereta.
Ketika menunggu bapanya pada kira-kira jam 7 pagi, di persimpangan antara Stesen LRT Sri Rampai dan sebuah kondominium, Nur Sophia didekati oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.
Nur Sophia mendakwa, salah seorang lelaki tersebut menyamun beg yang mengandungi sebuah komputer riba dan telefon pintar.
Nur Sophia ketika dihubungi pada Rabu berkata, “Pada awalnya, saya enggan melepaskan beg saya. Namun, selepas lelaki tersebut bertindak mengoyakkan beg dengan menggunakan pisau, saya melepaskan beg tersebut sebelum mereka melarikan diri.”
Nur Sophia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan insiden itu, Nur Sophia membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa dan dimaklumkan bahawa pihak polis akan menyiasat insiden berkenaan serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
https://twitter.com/soph_jes/status/1590253694268108803?s=20&t=cyEs8NYotP5Bi1x6WAbqtw
Untuk makluman, gangguan perkhimatan LRT melibatkan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya tidak beroperasi bermula Rabu sehingga 15 November disebabkan permasalahan teknikal.