Lotus Type 66, lakaran puluhan tahun lalu jadi realiti, 10 unit, hampir RM6 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lotus Type 66
Lotus Type 66
Kehadiran model eleketrik Eletre tidak bermakna Lotus melupakan terus warisannya sejak sekian lama. 

Ini boleh dilihat melalui Lotus Type 66 yang baru dilancarkan dan dibuat sebanyak sepuluh unit sahaja untuk kegunaan litar. 

Type 66 dilancarkan pada ulang tahun ke-75 Lotus dan mengingatkan kepada warisan syarikat.  

Lakaran model ini dibuat puluhan tahun lalu dan kini dijadikan realiti dengan penggunaan komponen moden dan canggih.
Lotus Type 66

 

Idea Type 66 timbul ketika pengasas Lotus, Colin Chapman memberi perhatian kepada siri Can-Am yang berprofail tinggi dan menguntungkan dari segi komersial.

Beliau menugaskan pelukis pelan Team Lotus, Geoff Ferris untuk memulakan projek Type 66 dan menilai bagaimana prinsip rekaan Lotus dapat digunakan untuk perlumbaan itu.

Tumpuan utama Chapman pada Formula 1 bermakna projek tersebut wujud pada lukisan teknikal dan model skala sahaja.

Projek tahun 1970 itu akhirnya dijadikan realiti. Sepuluh unit yang dibuat merujuk kepada jumlah perlumbaan Type 66 sekiranya berlumba pada musim 1970.

 

Lotus Type 66

 

Individu penting dalam projek pembangunan Type 66 ialah Pengarah Urusan Classic Team Lotus dan anak pengasas syarikat, Clive Chapman.

Dokumen bersejarah Type 66 dipegang beliau dan membolehkan kakitangan Lotus Design menjadikannya realiti.

Menurut beliau, berkemungkinan tinggi pemandu legenda Lotus F1, Emerson Fittipaldi akan memandu Type 66 sekiranya disiapkan pada masa itu.

Menggunakan perisian komputer canggih, kakitangan yang diketuai Russell Carr selaku Pengarah Reka Bentuk Lotus telah mendigitkan lukisan skala 1/4 dan 1/10.

 

Lotus Type 66

 

Lukisan itu dibekalkan Clive Chapman dan kakitangan Lotus menghasilkannya dalam lakaran tiga dimensi.

Lukisan asal memaparkan ciri-ciri awal identiti reka bentuk Chapman dengan pelindung kokpit bagi mengurangkan seretan dan mempertingkatkan aliran udara ke sayap belakang.

Rekaan asal telah diubah supaya selari dengan standard keselamatan masa kini dan memberi keyakinan kepada pemandu.

Ciri-ciri baharu digunakan seperti bahagian pemandu yang dimodenkan, sel bahan api dalaman, transmisi berjujukan (sequential) dan sistem anti enjin berhenti.

 

Lotus Type 66

 

Kesemua komponen itu disorok di dalam badan gentian karbon. Sayap depan direka untuk mengalirkan udara dari depan kereta dan melalui bawah sayap belakang.

Tujuannya untuk menjana lebih daya mendap berbanding berat keseluruhan kereta pada kelajuan tinggi.

Prinsip angin yang melalui badan berbanding sekeliling kereta adalah ciri signatur reka bentuk kenderaan Lotus dan boleh dilihat pada Emira, Eletre dan Evija.

Selain itu, ciri aerodinamik yang dioptimum adalah sebahagian DNA Lotus selama ini dan semestinya diguna pada Type 66.

 

Lotus Type 66

 

Lebih daripada 1,000 jam kerja-kerja Pengiraan Dinamik Bendalir (CFD) dilakukan dan boleh dilihat pada daya mendap lebih 800 kilogram pada kelajuan 241 kilometer sejam.

Angka itu lagi tinggi berbanding rekaan bawah badan asal dan memberikan masa pusingan lebih pantas dan juga perlindungan kepada pemandu.

Memacu Type 66 ialah enjin rod tunjal (push-rod) V8 yang dipasang pada bahagian tengah untuk mengoptimumkan pengendalian.

Enjin itu ditala Lotus dan menghasilkan 830bhp pada 8,800 rpm dan tork 746Nm pada 7,400 rpm.

 

Lotus Type 66

 

Komponen moden digunakan seperti engkol, rod dan omboh dari aluminium tempa. Saluran ambilan udara trumpet ala Can-Am jelas dilihat di belakang kereta.

Turut dilengkapi stereng kuasa bantuan elektrik (EPASS), kotak gear jujukan perlumbaan dengan gear undur dan sistem brek anti kunci (ABS) perlumbaan.

Skema warna Type 66 dibuat mengikut syarikat rokok yang menaja Lotus pada masa itu dan bukan setakat haram untuk penganut agama Islam tetapi juga sukan permotoran.

Akhir sekali, berapa harga Type 66? Lebih daripada 1 juta pound (RM5.92 juta).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lotus Type 66