Lotus Evora GT410 - kereta sports untuk kegunaan seharian (dari RM440k)

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir setahun pengenalan varian Evora GT, tahun ini Lotus membawakan sebuah ahli baharu untuk disusun di dalam keluarga Evora, iaitu Evora GT410 yang direka untuk pemanduan seharian.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Varian yang memfokuskan kepada kegunaan di jalan raya biasa ini walaubagaimanapun tidak membawakan perubahan yang sangat ketara di bahagian luar, selain mengekalkan penggunaan cermin sisi Proton.

Apa yang dibawakan oleh Lotus pada model terbaharu ini termasuklah tempat duduk sports daripada Sparco, sistem pendingin hawa, sistem infotainmen dengan sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto, kawalan pelayaran, serta insulasi yang ditambah baik untuk mengurangkan kadar bunyi bising. 
 


Ruang kabin turut menerima trim pintu baharu yang menampilkan perehat tangan dan ruang storan, satu perkara yang cukup penting untuk kereta sports yang dipandu seharian. 

Ruang tailgate juga telah direka semula dengan penggunaan seksyen kaca yang lebih besar untuk sudut pandangan yang lebih baik.
 


Bagi memastikan Evora GT410 ini sesuai dengan keadaan jalan raya biasa, Lotus telah membuat talaan semula kepada sistem penyerap hentak dan mengekalkan karakteristik pengendalian yang ikonik itu. 

Ruang arca roda hadapan menerima penggayaan rim bersaiz 19 inci dan 20 inci di roda belakang yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4S all-weather.
 


Unit kuasa pula masih kekal dengan nadi bentangan V6 3.5 liter bantuan pengecas lampau yang mampu menghamburkan 410 kuasa kuda dan 420 Nm yang memacu roda belakang. 

Pecutan dari 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 4 saat dengan kelajuan tertinggi 305 km/j.

Harga jualan Lotus Evora GT410 ini bermula dari £82,900 (RM439,925), di mana ia lebih murah £3,000 (RM15,920) berbanding model Lotus Evora GT410 Sport.