Lotus Emira 2022 First Edition - harga bermula dari RM1,131,800 untuk Semenanjung Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Lotus Cars Malaysia baru-baru ini mengemaskini harga jualan bagi model kereta sports Lotus Emira 2022 untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam varian tunggal First Edition, harga jualan bermula dari RM1,131,800.00 untuk Semenanjung Malaysia, namun harga jualan di Langkawi pula bermula dari RM456,900.
 

Lotus Emira


Berdasarkan laman web Lotus Cars Malaysia, Lotus Emira 2022 boleh didapati dalam beberapa warna seperti Hethel Yellow, Nimbus Grey, Shadow Grey, Dark Verdant, Seneca Blue dan juga Magma Red, diikuti dengan rim berjejari-V bersaiz 20 inci dengan tiga kemasan berbeza.

Ruang kabin pula menempatkan penggunaan bahan premium pada alas kaki, trim kulit Nappa, trim Alcantara, headliner Alcantara, jaring storan, tempat duduk boleh laras 12 cara dengan fungsi memori, serta tidak ketinggalan mekanisme kotak gear terbuka hanya untuk versi manual sahaja.

Sistem infotainmen dilengkapkan dengan unit audio premium KEF 340 W dengan 10 saluran bunyi termasuk tiga pembesar suara Uni-Q  dan subwoofer.
 

Emira


Selain daripada tiga pakej yang boleh dipilih (Lotus Drivers Pack, Convenience Pack dan Lotus Design Pack), pembeli juga boleh memilih opsyen tanpa sebarang kos seperti casis Tour dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport, casis Sport dengan pilihan tayar yang serupa atau casis Sport dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Dari segi kuasa, Lotus Emira didatangkan dengan nadi V6 3.5 liter yang mampu menghasilkan 400 kuasa kuda dan 420 Nm, dimana pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 4.3 saat dengan kelajuan tertinggi 290 km/j.

Pilihan kotak gear pula terdiri daripada transmisi manual enam kelajuan, atau automatik enam kelajuan dengan kos tambahan sekitar RM15,000.
 

Emira


Ciri keselamatan termaju turut dimuatkan seperti kawalan jelajah adaptif, sistem anti-pelanggaran, amaran tumpuan pemandu, informasi papan tanda, had kelajuan, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan penukaran lorong.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Menurut Lotus, Emira disasarkan untuk melawan penguasaan pesaing-pesaing seperti Porsche 718 Cayman…