Lotus Eletre 2023 rasmi - 3 varian, 905 hp, 985 Nm, jarak gerak hingga 600 km, dari RM578k

oleh Mohamad Hanif|
Lotus Cars Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV berkuasa elektrik Lotus Eletre 2023 untuk pasaran tempatan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Lotus Eletre bukan sahaja bertindak sebagai SUV pertama Lotus, ia juga turut merangkap kenderaan gaya hidup, model pertama di luar segmen kereta sports serta model Lotus pertama yang paling terhubung.

Untuk pasaran Malaysia, Lotus Cars Malaysia membawakan tiga varian utama.
 

eletre


Lotus Eletre
-motor elektrik tunggal, transmisi kelajuan tunggal
-603 hp, 710 Nm
-pecutan 0-100 km/j 4.5 saat
-pecutan 80-120 km/j 2.2 saat

Lotus Eletre S
-motor elektrik tunggal, transmisi kelajuan tunggal
-603 hp, 710 Nm
-pecutan 0-100 km/j 4.5 saat
-pecutan 80-120 km/j 2.2 saat

Lotus Eletre R
-motor elektrik berkembar, transmisi dua kelajuan
-905 hp, 985 Nm
-pecutan 0-100 km/j 2.95 saat
-pecutan 80-120 km/j 1.9 saat
 

eletre


Kesemua tiga varian Eletre didatangkan dengan pek bateri 112 kWh yang membenarkan jarak gerak sehingga 600 km (490 km untuk versi R).

Lotus Eletre turut menyokong pengecasan AC 22 kW, atau pengecasan DC sehingga 350 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.

Sistem pacuan elektrik tiga-dalam-satu itu menggandingkan motor elektrik dengan unit kawalan dan pengurang (reducer) bagi menjadikan unit tersebut lebih kecil dan ringan – solusi yang lebih dekat dengan falsafah Lotus itu sendiri.
 

eletre


Dari segi dimensi, Lotus Eletre membawakan ukuran 5,105 mm panjang, 1,630 mm tinggi, dengan jarak antara roda sepanjang 3,019 mm, dengan jarak gantungan depan dan belakang yang pendek dan berat sekitar 2,490 kg.

Sistem gantungan Lotus Eletre terdiri daripada suspensi udara multi-link depan dan belakang yang dibantu dengan ciri Continuous Damping Control (CDC), dan sistem brek torque vectoring.

Aspek aerodinamik Lotus Eletre boleh dilihat pada rekaan jeriji hadapan aktif – bertujuan untuk mengurangkan kesan seretan pada kelajuan tinggi dan penyejukan sistem motor elektrik, bateri dan brek depan, diikuti spoiler bumbung terpisah, sistem spoiler belakang aktif (varian S & R) dan rekaan pemegang pintu sisi yang tertanam kemas pada dalam badan.

Tidak seperti varian global yang menggunakan kamera sisi, Lotus Eletre pasaran Malaysia didatangkan dengan cermin sisi fizikal.
 

eletre


Ciri standard yang dibawakan termasuklah ciri lampu terpisah yang menampilkan lampu utama LED Matrix dan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus dan undur jenis LED, pintu tailgate berkuasa bebas tangan, sistem brek dengan angkup enam omboh, cakera rim aloi 20 inci serta bumbung aluminium hitam berkilat.

Sementara varian Eletre S dan R menerima tambahan cermin sisi auto-kelam, kaca belakang privasi, rekaan pintu jenis tutup lembut, rim 22 inci dengan balutan tayar Pirelli P-Zero Corsa (Eletre S) serta Carbon Pack dan rim 23 inci (tayar Pirelli P-Zero Corsa) yang dikhususkan untuk Eletre R.

Ketiga-tiga varian datang standard dengan konfigurasi lima tempat duduk, atau empat tempat duduk yang ditawarkan menerusi Executive Seat Pack.
 

eletre


Ciri lain yang dimuatkan pada ruang kabin termasuklah skrin tengah bersaiz 15.1 inci, sistem operasi Lotus Hyper, sistem audio KEF Premium 15 pembesar suara (KEF Reference 23 pembesar suara untuk Eletre R), skrin paparan head-up, tempat duduk hadapan larasan 12 tahap, ruang kargo sebesar 688 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,532 liter,  serta sistem pencahayaan ambien.

Menerusi kerjasama dengan HERE Technologies, Lotus Eletre menawarkan sistem integrasi bersepadu yang membawakan ciri seperti EV Routing, EV Range Assistant, dan Predictive Routing yang boleh dikemaskini menerusi kemaskini OTA.

Lotus Eletre didatangkan dengan pilihan warna Kaimu Grey, Natron Red, Galloway Green, Steller Black, Blossom Grey dan Solar Yellow.
 

Eletre


Lotus Eletre dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan, terima kasih kepada gugusan penderia dan LIDAR yang terpasang pada badan kereta.

Antara ciri ADAS yang ditawarkan termasuklah kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, serta bantuan parkir.

Lotus Cars Malaysia turut menawarkan beberapa pakej menarik termasuklah:
- Lotus Dynamic Handling Pack
- Ceramic Brake Pack
- Executive Seat Pack
- Comfort Seat Pack
- Carbon Fibre Pack
- Extended Carbon Fibre Pack
- Interior Carbon Fibre Pack
- Two Advanced Driver Assistance System Pack
- Parking Pack
- Highway Assist Pack

 

lotus


Harga jualan adalah seperti berikut:
Lotus Eletre – RM578,000
Lotus Eletre S – RM648,000
Lotus Eletre R – RM798,000

Setiap Lotus Eletre didatankan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun / perbatuan 100,000 km, serta jaminan bateri selama lapan tahun / perbatuan 200,000 km.

Untuk makluman, Lotus menyasarkan 200 unit jualan Eletre untuk sepanjang tempoh tahun ini, dan sehingga tarikh pelancaran, sebanyak 140 unit tempahan telah pun diterima oleh Lotus Cars Malaysia.