Lotus bakal kembalikan enjin V8 selepas 22 Tahun, bakal hasilkan lebih 1,000 HP!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Lotus Cars bakal menghidupkan semula enjin V8 selepas lebih dua dekad apabila jenama sportscar Britain itu mengesahkan pembangunan sebuah supercar hibrid baharu yang dijangka dilancarkan pada tahun 2028.

Kali terakhir Lotus menggunakan enjin V8 adalah menerusi Esprit sebelum pengeluarannya ditamatkan pada 2004. 

Kini selepas 22 tahun, konfigurasi lapan silinder tersebut bakal kembali dalam model dikenali sebagai “Type 135”, lengkap dengan sistem hibrid yang dikatakan mampu menghasilkan lebih 1,000 HP.

Model itu akan diletakkan di atas Lotus Emira dalam hierarki produk Lotus dan digelar sebagai supercar pertama jenama tersebut. 

 

2
Lotus Emira

 

Walaupun Lotus Evija sudah pun wujud sebagai hypercar elektrik penuh, Type 135 akan menjadi model supercar enjin pembakaran dalaman paling ekstrem pernah dihasilkan Lotus.

Pengeluaran model itu bakal dilakukan di Eropah, namun lokasi sebenar masih belum diumumkan, sama ada ia akan dipasang di kilang tradisional Lotus di Norfolk, United Kingdom masih menjadi tanda tanya, dengan maklumat lanjut dijangka diumumkan hujung tahun ini.

Lotus juga belum mengesahkan identiti enjin V8 yang bakal digunakan, namun ramai menjangkakan ia mungkin sekali lagi bekerjasama dengan Mercedes-AMG. 

Sebagai rujukan, Emira ketika ini menggunakan enjin turbo empat silinder 2.0 liter AMG M139 yang turut digunakan dalam beberapa model prestasi tinggi AMG.

 

Enjin AMG M139
Enjin AMG M139

 

AMG sendiri sedang membangunkan enjin V8 4.0 liter twin turbo generasi baharu yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan besar kemungkinan enjin tersebut akan menjadi nadi utama supercar Lotus baharu itu.

Walaupun Type 135 bakal menjadi model paling berkuasa Lotus, ia bukanlah model hibrid pertama syarikat tersebut, Lotus Eletre di China sudah ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid yang menghasilkan sekitar 939 hp. 

Dengan kehadiran model berkuasa nadi V8, ia sekaligus menunjukkan Lotus tidak lagi sepenuhnya komited terhadap pelan asal untuk menjadi jenama EV sepenuhnya menjelang 2028.

Satu lagi persoalan besar ialah sama ada Lotus akan menghidupkan semula nama “Esprit” untuk model baharu itu, dengan sejarah dan reputasi nama tersebut dalam dunia automotif, ia dilihat sebagai pilihan logik untuk digunakan semula.

 

3
Lotus Theory 1

 

Lotus bagaimanapun menegaskan bahawa Type 135 bukan sekadar versi lebih ekstrem Emira, sebaliknya sebuah model serba baharu yang dibangunkan dari kosong. 

Dari segi rekaan, teaser awal yang didedahkan menunjukkan inspirasi daripada konsep Lotus Theory 1 yang diperkenalkan pada September 2024.

Type 135 turut menjadi sebahagian daripada strategi perniagaan baharu Lotus dikenali sebagai “Focus 2030”, selain supercar tersebut, Lotus juga bakal memperkenalkan Emira versi facelift dalam masa terdekat dengan enjin pembakaran dalaman yang dipertingkatkan serta pengurangan berat bagi menjadikannya Emira paling ringan dan paling berkuasa pernah dihasilkan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kenyataan itu dibuat ketika satu sesi media baru-baru ini dan pantas menjadi tular di platform…
Berita Global
  Sepanjang tahun 2024, Lotus Tech mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 12,134 unit,…
Berita Global
Dalam perkembangan terkini, pengeluar jenama Britain yang kini dimiliki oleh Geely itu mengumumkan…