Lori tangki bawa air ke Pulau Pinang

oleh Hamimah Hamid|
BERPULUH-PULUH lori tangki diguankan bagi membawa air ke Pulau Pinang susulan masalah gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu.

Deretan lori-lori tangki terbabit dapat dilihat menunggu giliran mengisi air dari loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) Sungai Rawa, Bagan Serai baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, air tersebut dibeli oleh pihak industri di Pulau Pinang bagi mengatasi isu gangguan bekalan air yang telah berlaku sejak beberapa hari lalu.

 

“Saya dimaklumkan berpuluh-puluh buah lori tangki di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth menunggu giliran untuk mengisi air dari loji rawatan air LAP di Sungai Rawa baru-baru ini dan menimbulkan pertanyaan ramai.

 

“Menurut makluman Lembaga Air Perak (LAP) lori-lori terbabit akan membawa air yang dibeli oleh pihak industri di Pulau Pinang,” katanya.

 

Sementara itu pemandu lori memberitahu mereka menerima arahan untuk mengisi air ke dalam tangki treler untuk di bawa ke Pulau Pinang.

Kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari ekoran kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Pulau Pinang.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Bagi memberi kemudahan kepada penduduk sepanjang berdepan gangguan, PBAPP menggunakan 99 lori tangki air termasuk 27 lori tangki jumbo berkapasiti 40,000 liter untuk menghantar bekalan kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air.