Lori sel bahan api Hyundai XCIENT Fuel Cell baharu, 10 tangki hidrogen, jarak lebih 700km!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai XCIENT Fuel Cell 2025
Hyundai XCIENT Fuel Cell
Toyota dan Honda memberi perhatian pada kereta penumpang dengan teknologi sel bahan api.

Hyundai pula menumpukan pada kedua-dua kereta penumpang dan lori tugas berat sel bahan api.

Bukan Toyota dan Honda tidak ambil peduli malah sudah mempunyai teknologi tersebut.

Hyundai lebih ke hadapan melalui lori XCIENT Fuel Cell yang merupakan lori berat berkuasa hidrogen pertama di dunia yang dihasilkan secara besar-besaran.

Terus membuktikan komitmennya, Hyundai memperkenalkan XCIENT Fuel Cell Kelas-8 baharu di pameran Advanced Clean Transportation (ACT) Expo 2025 di Anaheim, California.

Lori ini direka khusus untuk pasaran Amerika Utara. 
Hyundai XCIENT Fuel Cell 2025

 

Dilancarkan pada 2020, XCIENT Fuel Cell telah digunakan di 13 negara, mencatat lebih 13 juta kilometer pemanduan terkumpul di Switzerland.

XCIENT baharu menggunakan sistem sel bahan api hidrogen yang dipertingkat dan sejak 2021 telah menjalani ujian ketahanan dalam pelbagai iklim serta penggunaan di Amerika Utara.

Gabungan ujian intensif dan kerjasama berterusan dengan pengendali flit memastikan trak ini memenuhi keperluan pemanduan pelanggan.

Ini termasuk penggunaan untuk pengangkutan pelabuhan dan logistik jarak sederhana.

Spesifikasi Hyundai XCIENT Fuel Cell: 

  • Dikuasakan sistem sel bahan api hidrogen berkuasa 180 kW
  • Dua stack 90 kW untuk penjanaan tenaga yang boleh dipercayai
  • Pek bateri 72 kWj
  • Motor elektrik 350 kW dengan tork maksimum 2,237 Nm
  • Jarak pemanduan maksimum 724 km dalam keadaan optimum
  • 10 tangki hidrogen (jumlah kapasiti sekitar 68 kg)
  • Menawarkan varian traktor (kepala lori) Kelas-8 yang disesuaikan untuk Amerika Utara
  • Berat gabungan kasar sehingga 37,195 kg., sesuai untuk penggunaan tugas berat

Bahagian dalaman trak XCIENT Fuel Cell turut ditambah baik untuk keselesaan dan kemudahan pemandu.

Di antara pembaharuan seperti kluster instrumen digital sepenuhnya berukuran 12.3 inci yang menyajikan maklumat jelas.

Turut dilengkapi sistem maklumat hibur skrin sesentuh 12.3 inci yang digabungkan dengan butang fizikal di konsol tengah untuk kemudahan ergonomik pemandu.

Model baharu ini juga dilengkapi  pelbagai ciri Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan keletihan pemandu. 

Ciri-ciri ADAS XCIENT:

  • Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Kawalan Jelajah Pintar (SCC)
  • Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW)
  • Amaran Pelanggaran Titik Buta – Jarak Dekat (BCW-NEAR)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan – Jarak Dekat (FCW-NEAR)

Di ACT Expo, Hyundai Motor turut mengetengahkan kejayaan dalam logistik berkuasa hidrogen dan pengangkutan bersih hasil kerjasama strategik di Amerika Utara.

Menerusi Projek NorCAL ZERO, sebanyak 30 lori XCIENT Fuel Cell telah beroperasi di Pelabuhan Oakland dan Richmond.

Ini menjadikannya projek komersial tunggal terbesar trak hidrogen di Amerika Utara.

Armada lori XCIENT digunakan untuk pengangkutan kargo bebas emisi paip ekzos, termasuk pengangkutan kontena dan telah mencatat hampir 724,203 km operasi sejak September 2023.

 

Hyundai XCIENT Fuel Cell 2025

 

Hyundai Motor juga bekerjasama dengan GLOVIS America untuk inisiatif HTWO Logistics yang diumumkan pertama kali di ACT Expo 2024.

Usaha ini menumpukan kepada penyahkarbonan logistik di sekitar Hyundai Motor Group Metaplant America (HMGMA) dengan menghasilkan serta menggunakan hidrogen di kawasan kilang.

Kini, 21 trak XCIENT Fuel Cell digunakan untuk hampir separuh daripada oprerasi logistik penghantaran masuk dan keluar di kilang tersebut.

Di ACT Expo, Hyundai Motor turut mengumumkan peluasan jenama perniagaan hidrogen HTWO.

HTWO kini menjadi sebuah platform terbuka yang menyatukan rakan kongsi, pelabur dan industri sepanjang keseluruhan rantaian nilai.

Syarikat juga mengumumkan pelancaran HTWO Energy Savannah.

Ini merupakan stesen pertama industri yang menawarkan pengisian semula hidrogen untuk lori tugas berat Kelas-8 dan pengecasan elektrik.

Kerjasama dijalinkan dengan HydroFleet dan Capital Development Partners.

Projek ini akan dibangunkan berhampiran HMGMA di Savannah, Georgia, dan dijadualkan memulakan operasi menjelang akhir 2025.

Penulis: Muhammad Md Tajudin