Lori kebal - 23 penguatkuasa JPJ antara yang ditahan SPRM

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia, seramai 31 individu termasuk 23 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori di Pulau Pinang. 

Sumber SPRM memberitahu, kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ negeri berkenaan menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai imbuhan kerana tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori, selain membocorkan maklumat operasi JPJ. 

Jelas sumber berkenaan, tangkapan itu merupakan siasatan peringkat pertama dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, dianggarkan tidak kurang daripada 75 pegawai penguat kuasa JPJ terlibat menerima rasuah daripada pemilik syarikat-syarikat lori.

Dalam pada itu, sumber itu menambah, kumpulan lori-lori yang dilindungi tersebut dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto supaya mereka mudah dikenal pasti sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, operasi besar-besaran oleh Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama SPRM negeri itu dilakukan hasil risikan sejak beberapa bulan lalu selain mendapat maklumat daripada orang awam.

“Kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Kesemua yang ditahan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya. - UTUSAN ONLINE