Loke: Penunggang Penghantar Berdisiplin Patut Diberi Diskaun Premium Insurans

oleh Qalif Latif|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencadangkan agar penunggang penghantar makanan yang mempunyai rekod trafik bersih dan mempraktikkan pemanduan berhemah diberikan kadar premium insurans yang lebih rendah. Langkah ini, menurut beliau, bukan sahaja menggalakkan budaya pemanduan selamat tetapi juga mengurangkan tuntutan insurans, sekali gus memberi manfaat kepada penyedia insurans.

Kalau kita boleh jadikan keselamatan sebagai budaya nasional, ia bukan sahaja baik untuk masyarakat, malah industri insurans juga akan mendapat faedah. Kurang kemalangan bermakna kurang tuntutan,” katanya pada majlis pelancaran Pandasafe, program keselamatan penunggang anjuran Foodpanda Malaysia.

Pandasafe merupakan inisiatif jangka panjang yang menyediakan ekosistem keselamatan berstruktur untuk melindungi rakan penghantar. Antara modul yang ditawarkan termasuk latihan teknik tunggangan selamat, modul keselamatan jalan raya, latihan pertolongan cemas, serta prosedur tindak balas awal.

Loke turut menggesa syarikat insurans mempertimbangkan insentif atau diskaun kepada penunggang yang tiada rekod kemalangan, bebas saman, dan mempunyai penilaian tingkah laku positif. “Kementerian bersedia bekerjasama dengan pihak industri bagi membangunkan sistem mengenal pasti penunggang berisiko rendah serta mengiktiraf usaha mereka,” katanya sambil menekankan bahawa pembudayaan keselamatan jalan raya perlu melangkaui penguatkuasaan kerajaan atau kempen bermusim.

Beliau juga meminta syarikat perkhidmatan penghantaran supaya tidak mengenakan penalti keras terhadap penunggang yang lewat akibat faktor luar kawalan seperti cuaca buruk atau kesesakan lalu lintas. “Masyarakat juga perlu lebih empati. Jangan marah kepada penunggang bila makanan lambat sampai, cuba fahami cabaran yang mereka hadapi,” ujarnya.

Sumber: https://paultan.org/2025/08/11/delivery-riders-with-clean-traffic-records-responsible-riding-should-get-lower-insurance-premiums-loke/?fbclid=IwQ0xDSwMGb1NleHRuA2FlbQIxMQABHuKDZ9TditBPRdep4WlCiQFbPC9g05FDBm7iiWZyIOGxnMHpBiM74BEjYIiv_aem_7libIdS69VwXEz_c16w-8Q

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, kerajaan memandang serius trend pemasangan lampu itu dan sedang meneliti kesannya…
Berita Domestik
Katanya, jenayah kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia memberi…
Berita Domestik
Beliau berkata, insiden itu berlaku ketika proses pertukaran landasan apabila gerabak pertama…