Litar lumba terbengkalai di Sungai Petani dibangunkan semula

oleh Hamimah Hamid|
PROJEK litar lumba di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani yang terbengkalai sejak 2017 bakal dibangunkan semula dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bernilai RM75 juta itu bakal dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Muhammad Sanusi, Litar bertaraf antarabangsa sepanjang 1.8 kilometer itu akan turut dilengkapi dengan kawasan komersial, pusat pameran dan jualan serta pusat penyelenggaraan kenderaan.

“Litar Lumba Rakyat yang dinaik taraf ke Litar Lumba Antarabangsa ini perlu disediakan dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan konduksif serta diselenggara dengan baik.

“Bagi mengelak beban kewangan masa depan kepada kerajaan, syarikat PKB Open Road sebagai pelabur bersetuju untuk mengambil alih projek tersebut dan walaupun litar ini lebih bersifat komersial, namun, ia juga boleh digunakan rakyat yang berminat dalam sukan permotoran,” katanya.

turut hadir menteri belia dan sukan

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani, malam tadi.

Projek litar yang dirancang kerajaan negeri terdahulu terbengkalai sejak 2017 dan Muhammad Sanusi pada sesi pembentangan Belanjawan 2022 pada November tahun lalu memaklumkan sedia meneruskan projek itu, namun hanya mengikut peruntukan sedia ada.

Tambah Muhammad Sanusi, usaha menjayakan projek terbengkalai itu selari dengan hasrat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini untuk membina litar di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran negara.

Katanya, pada masa hadapan Kedah bakal mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana keduanya akan dibina dan diurus PKB Open Road World. 

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Goh berkata, reka bentuk litar terbabit akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari United Kingdom.

“Projek pembinaan litar lumba terbaharu ini bakal menjadi nadi baru untuk Sungai Petani. Ia kan direka bentuk oleh pakar perunding litar yang baru-baru ini telah mereka bentuk litar lumba Formula 1 di Miami, Amerika Syarikat.

“Kami sedang memohon kelulusan FIA Gred 2 untuk litar di Sungai Petani selain sedang mengusahakan kelulusan FIM Gred B untuk litar ini sebagai tarikan tambahan yang mana pertandingan dan kejohanan lumba motosikal antarabangsa dapat dilangsungkan,” katanya.