Menurut laporan SFGate, sekumpulan penduduk yang tinggal berdekatan dikenali sebagai 'Highway 68 Coalition' telah mendakwa aktiviti perlumbaan dan acara khas di Laguna Seca telah meningkat secara mendadak sejak 2021, berbanding tahun sebelumnya.
Kumpulan itu menambah, peningkatan aktiviti itu menyumbang kepada peningkatan pencemaran bunyi melebihi 100 dB, kesesakan trafik, serta masalah kualiti bekalan air yang terjejas.
Disebabkan pemilik litar tersebut didakwa melanggar terma syarat penggunaan yang telah dipersetujui pada tahun 1985, kumpulan itu sepakat mahu mengharamkan terus penganjuran acara perlumbaan dan aktiviti berkaitan di litar tersebut.
Litar Laguna Seca telah dibuka secara rasmi pada tahun 1957, dan telah menjadi lokasi penganjuran perlumbaan berprestij termasuklah kejuaraan MotoGP, American Le Mans Series dan juga IndyCar Series.
Biarpun fasiliti tersebut menyumbang hampir $US250 juta setahun kepada ekonomi rantau, kumpulan yang menyaman pemilik Laguna Seca itu mendakwa litar tersebut telah disewakan dan digunakan sebanyak 340 hari dalam setahun yang menimbulkan gangguan terhadap penduduk setempat.
Sumber: SFGate