Linux - makin popular di kalangan pengeluar kereta

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk kaki komputer, Linux bukan benda baharu. 

Sistem operasi terbuka yang bermula pada tahun 1991 oleh Linus Torvalds ini semakin popular dan penggunaannya di dalam industri automotif juga semakin meningkat.

Tesla contohnya menggunakan sistem operasi yang dihasilkan oleh mereka sendiri, tetapi tetap berteraskan Linux.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk kebanyakan syarikat kenderaan lain, mereka menggunakan Automotive Grade Linux (AGL) yang menggunakan platform terbuka yang terhasil atas kolaborasi antara lebih dari 140 syarikat.

Antara syarikat kenderaan yang menggunakan AGL adalah Mercedes-Benz, Audi, Hyundai, Ford, Honda, Mazda, Nissan, Suzuki dan juga Toyota.

AGL digunakan bukan hanya untuk mengawal fungsi-fungsi enjin, transmisi dan sebagainya tetapi paling penting, sistem hiburan/informasi di dalam kabin kenderaan itu.

AGL menggunakan Unified Code Base (UCB), sebuah platform "open-source" umum untuk sistem "infotainment" kenderaan, telematik dan aplikasi paparan meter kenderaan. 

 

 

Malah UCB memberikan lebih dari 70 peratus kod yang diperlukan untuk operasi Linux di dalam sebuah kenderaan.

Syarikat kenderaan pula selepas itu mampu mengubah UCB itu mengikut citarasa masing-masing.

Penggodam juga mampu menggunakan kepakaran Linux mereka untuk melakukan modifikasi yang lebih memudahkan pengguna kenderaan.

Contohnya, sistem infotainments Mazda, MZD-Connect terkenal dengan sistem skrin sentuh yang tidak boleh digunakan sewaktu kenderaan bergerak.

Pengguna terpaksa menggunakan tombol pada ruang tengah kenderaan bagi memilih fungsi atau tetapan ketika memandu - satu proses yang sangat melecehkan dan lebih membahayakan.

Apa yang dilakukan oleh penggodam Linux ialah memodifikasi sistem itu agar skrin sentuh boleh digunakan walaupun kenderaan sudah bergerak.

Penggodam juga mampu memasukkan aplikasi-aplikasi lain yang tidak pernah ada di dalam kenderaan tersebut.

Menarik bukan?