Limo VIP Mercedes-AMG G 63 Inkas Armored - mampu bertahan dua serangan bom tangan!

oleh Mohamad Hanif|
Hidup sebagai seorang VVVIP sememangnya memerlukan sebuah kenderaan serba guna yang mampu melindungi kita daripada sebarang ancaman, serta berupaya bergerak pantas dalam apa jua keadaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk itu, syarikat dari Kanada, Inkas Armored telah hadir dengan sebuah kenderaan limosin VIP berperisai dalam bentuk sebuah Mercedes-AMG G 63 - dengan jarak antara roda yang telah dipanjangkan!

Dimensi baharu SUV berperisai ini memiliki panjang 6,186 mm dari bumper ke bumper, dengan jarak antara roda kini sepanjang 4,374 mm, memberikan ruang dalaman yang lebih luas.

 


Namun, disebabkan tujuan asal adalah untuk membawa VVIP dengan selamat, ruang dalaman tidaklah seluas yang disangka, sebaliknya ia hanya mampu memuatkan dua orang sahaja di tempat baris kedua.

Ruang yang memisahkan antara kabin pemandu dan penumpang di belakang diisi dengan peralatan elektronik seperti sebuah TV 4K yang boleh disembunyikan, sistem audio premium dalam beberapa konfigurasi pembesar suara, integrasi Apple TV, serta sebuah bar mudah alih yang mampu memuatkan peti sejuk mini.

 


Untuk keselesaan penumpang VIP di belakang, tempat duduk pula didatangkan dengan balutan kulit atau Alcantara premium, serta hadir dengan ciri urutan terbina dan fungsi pemanasan atau penyejukan.

Di ruang konsol tengah pula menampilkan sebuah pusat kawalan yang membenarkan VIP di belakang menetapkan kawalan terhadap media, pencahayaan, kadar keselesaan serta fungsi sekuriti yang ditawarkan.

Inkas Armored juga menambah pakej headliner yang boleh ditetapkan mengikut kadar pencahayaan di luar, serta sistem penapisan bahan kimia bagi memastikan ruang kabin kekal bersih daripada sebarang pencemaran dan bakteria.

 


Ciri mewah yang didatangkan bukanlah fokus utama, di mana Inkas Armored sebenarnya lebih menekankan aspek keselamatan VIP sepanjang perjalanan.

Mercedes-AMG G 63 Limo ini dilengkapkan dengan ciri perlindungan yang menepati piawaian CEN 1063 BR7 yang merangkumi perisai daripada serangan peluru 7.62x51 mm atau .308 Winchester FMJ.

Selain daripada itu, SUV tegap ini juga dikatakan mampu bertahan daripada dua serangan bom tangan (hand grenade) yang dilemparkan secara serentak di bahagian bawah lantai!

 


Sudah pasti, dengan beban perisai yang dilengkapkan, Inkas Armored telah menala kembali sistem suspensi supaya ia mampu bertahan dalam apa jua keadaan.

Mercedes-AMG G 63 ini juga turut dipasang dengan tayar tugas berat jenis run-flat, kaca balistik, serta perlindungan terhadap bateri dan modul kawalan elektronik.

Namun, enjin asal dibiarkan dalam keadaan standard, di mana nadi V8 bi-turbo 4.0 liter itu mampu menghasilkan 577 kuasa kuda dan 850 Nm serta sistem transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan nisbah kelajuan.