Lima sebab kenapa anda tidak patut beli Proton X50!

oleh Mohamad Hanif|
Semalam, Careta merupakan antara media automotif tempatan yang terpilih untuk menghadiri sesi uji prestasi bagi SUV baharu Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beberapa siri ujian telah pun dijalankan di mana separuh pertama adalah melibatkan ujian prestasi dari segi pecutan, ujian slalom dan ujian membrek.

Manakala separuh kedua pula lebih tertumpu kepada pengenalan ciri-ciri keselamatan moden yang dilengkapi pada adik X70 itu.

Namun, selepas kami mencuba sendiri Proton X50 di Sepang, kami boleh rumuskan beberapa poin yang boleh menghalang anda daripada membeli Proton X50 ini.

 

1. Anda pemandu yang rileks di persimpangan lampu isyarat, tidak kisah pun ujian pecutan 0-100 km/j


Varian tertinggi Proton X50 dilengkapi dengan nadi tiga silinder sebaris turbo 1.5 liter T-GDi yang mampu menjana kuasa 177 PS dan 255 Nm, digandingkan dengan transmisi DCT tujuh nisbah kelajuan.

Ia menjadikan pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 7.9 saat sahaja, dan dalam ujian yang disediakan, Proton X50 berjaya menewaskan lawannya seperti BMW X1 dan Honda HR-V yang datang dengan sesaran yang lebih besar.

Kuasa yang disalurkan kepada roda hadapan dirasakan amat lancar, walaupun ketika permulaan pecutan terdapat sela masa, namun ia bukanlah satu masalah yang besar.

Jika anda bukanlah pengejar kelajuan, boleh dapatkan tiga varian terendah yang hadir dengan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, namun dengan angka output yang lebih rendah 150 PS dan 226 Nm.

 

2. Anda merupakan golongan anti-enjin tiga silinder sebaris


Tipikal manusia yang gemar berkata-kata tanpa menguji terlebih dahulu produk yang diperkatakan, begitulah juga halnya ketika Proton memperkenalkan X50 dengan nadi tiga silinder sebaris.

Orang akan berkata, enjin gegar, bunyi bising dan sebagainya, namun Proton dikatakan telah meningkatkan beberapa komponen enjin bagi menjadikan kadar NVH (kebisingan, gegaran, kekasaran) yang lebih baik.

Dalam ujian ringkas pecutan di litar Sepang, gegaran yang diperkatakan itu tidak langsung dirasai, malah bunyi bising enjin mengaum juga tidak memasuki ruang kabin dengan ketara.

Harus diingat, ia diuji atas Litar Sepang yang cukup cantik jalannya.

 

3. Anda masih ragu-ragu dengan Ride & Handling X50


Ya, ujian ringkas di Litar Sepang tidak membawa apa-apa makna selagi ia tidak diuji secara terperinci di jalan raya Malaysia yang cemerlang dan tak terbilang lubangnya itu.

Menurut penerangan produk yang dibentangkan pada awal acara, Proton telah memberikan talaan kepada aspek tersebut supaya ia mampu dioptimasikan dengan keadaan jalan raya kita.

Beberapa perubahan dibuat seperti penggunaan spring dan konfigurasi penyerap hentak serba baharu, bar anti oleng, talaan kepada respons stereng dan gear, serta penggunaan tayar Continental UltraContact UC6, jika dibandingkan dengan kembarnya Geely Coolray yang lebih keras itu.

Hasilnya, lebih selesa.

 


Ujian ringkas slalom dan membrek yang dilakukan sendiri memberikan impresi awal bahawa Proton X50 mempunyai kualiti pengendalian yang tersendiri (walaupun dirasakan tidak cukup).

SUV kecil ini juga kekal stabil terutama ketika melakukan penukaran laluan yang lebih pantas.

Keadaan cuaca yang semakin membahang di sebelah petang pula membuatkan penulis terpaksa menyerah kalah untuk mengikuti sesi hot lap, bimbang ruang kabin X50 yang bergemerlapan itu dikotori dengan bahan yang tidak diundang.

Benar, ujian kali ini terlalu ringkas, dan kami berharap agar diberikan peluang untuk menguji dengan lebih terperinci aspek tersebut pada masa terdekat.

Hey, bila lagi nak merasa naik Genting hari-hari kan?

 

4. Anda memang terer parkir kereta dengan sendiri


Salah satu ciri menarik yang didatangkan pada Proton X50 adalah ciri Auto Park Assist (APA) di mana ciri ini membolehkan anda membuang segala mak nenek skil parkir yang pernah dipelajari suatu ketika dahulu di sekolah memandu bawah pokok ceri.

Dengan hanya menekan butang fungsi yang terletak di konsol tengah, ia akan memaparkan pilihan sama ada untuk parkir secara selari atau menegak (tak kisah kiri atau kanan), dan anda hanya perlu mengikut arahan yang terpapar di skrin tengah.

Tangan anda tidak perlu menyentuh stereng, dan kaki pula tidak perlu untuk menekan brek ketika Proton X50 ini melakukan pergerakan sendiri memasuki petak parkir.

Jika anda rasakan skil parkir anda lebih maju, sila abaikan poin nombor empat ini.

 

5. Anda memang pemandu yang berhemah, bawa sopan sepanjang masa


Proton X50 merupakan SUV/model pertama Proton yang dilengkapi dengan ciri pemanduan autonomi Level 2 (mengikut penarafan SAE) di mana ia hadir dengan ciri seperti Intelligent Cruise Control (ICC) dan ciri APA yang kami sebutkan tadi.

Selain daripada itu, ciri sistem bantuan pemandu termaju atau Advanced Driver Assistance System (ADAS 2.0) yang dilengkapi sememangnya lebih 'advance' berbanding abangnya Proton X70 seperti berikut:

  • Blind Spot Information System
  • Intelligent High Beam Control
  • Forward Collision Warning
  • Autonomous Emergency Braking dengan ciri pengesan pejalan kaki
  • Lane Departure Warning
  • Lane Keep Assist
  • Adaptive Cruise Control dengan ciri Stop & Go

Ciri-ciri yang disebutkan ini sememangnya cukup lengkap untuk didatangkan pada sebuah SUV segmen B, terutama SUV buatan Tanjung Malim, dan diharapkan dengan harga yang munasabah, ciri keselamatan ini bakal menjadi penentu tahap laku model ini pada masa akan datang.



Poin tambahan: " Proton X50 harga sekian, sekian. Mahalnya, baik beli..."


Setakat ini, Proton masih lagi berahsia berkenaan harga jualan bagi pendatang baharu SUV segmen B di Malaysia ini, namun anda boleh baca sendiri spesifikasi setiap varian telah pun kami terbitkan sebelum ini.

Tempahan juga sudah boleh dibuat, namun angka tempahan juga masih lagi dirahsiakan oleh pihak Proton ketika ditanya.

Jadi, dengan poin yang kami bentangkan dalam artikel ini, anda masih mahu beli Proton X50?

Baca: Spesifikasi Proton X50 2020

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Hasil siasatan mendapati, kereta yang terlibat adalah Proton X50, namun nombor pendaftaran tidak…
Informasi
  Penawaran SUV juga mengubah pandangan dan penerimaan pengguna terhadap jenama nasional itu.…
Berita Domestik
Angka pada bulan September itu menyumbang kepada jualan tahun sehingga kini (YTD) untuk tahun  2023…