Lima Mat Rempit dipenjara 3 bulan dan didenda RM6,000

oleh SALINA JALIL|
Lima mat rempit dipenjara tiga bulan dan didenda RM6,000 masing-masing selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kemaman, semalam, kerana menunggang secara merbahaya.


Tertuduh, Muhammad Aliff Najmi Radzuan, 23, Muhammad Azam Jusoh, 25, Mohammad Riezuwan Ishak, 25, Muhamad Syahril Yahaya, 21, dan Muhammad Syafiq Yahya, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Nurulnaim Abdullah.

 

Nurulnaim ketika membuat keputusan mengarahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan tambahan penjara selama enam bulan sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda.

 

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kelima-lima tertuduh digantung selama dua tahun serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

 

Kelima-lima tertuduh didakwa menunggang motosikal secara bersaing sesama sendiri dengan aksi 'ala superman' dengan meluruskan kaki selari dengan meter motosikal yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya.

 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 321 hingga Kilometer 281 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lepas.

 

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

 

Sementara itu, tiga lagi tertuduh, Mohamad Yassir Yahaya, 32, Mazmi Harun, 32, dan Muhammad Syaiful Bahari Ibrahim, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

 

Nurunaim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.00 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 13 Julai hadapan.

 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

 

 

HM

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa menunggang motosikal secara…
Berita Domestik
  Mereka ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Sri Medan. Kami turut mengeluarkan 151 notis saman…
Berita Domestik
  Mereka yang ditahan diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh dua kilometer (km) ke Balai…