Laporan kejadian diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor jam 3.36 petang.
Sepasukan anggota bersama jentera FRT dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 bergegas ke lokasi untuk tugas memotong dan pembersihan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata lima kenderaan yang rosak terdiri sebuah Perodua Axia, Proton Saga BLM, Nissan Almera, Honda City dan Honda City Hatchback.
"Semua kenderaan itu sedang di parkir dan kejadian tidak membabitkan mangsa," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh batang pokok turut dilaporkan tumbang dan menghalang laluan di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara petang Rabu.
Katanya, kejadian jam 3.31 petang itu tidak membabitkan mangsa dan kerja memotong serta mengalihkan pokok tumbang dijalankan anggota dari BBP Damansara
"Kita turut menerima laporan kejadian pokok tumbang di Jalan KIP, Taman Perindustrian KIP berhampiran Kepong yang menimpa sebuah lori.
"Kejadian dilaporkan jam 3.25 petang itu menyebabkan pemandu lori terperangkap di bahagian pemandu. Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba," katanya.
Beliau berkata, pemandu lori lelaki berusia 46 tahun itu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan anggota dari BBP Sungai Buloh ke lokasi untuk mengalihkan pokok yang tumbang.