Lima kenderaan mewah RM2.2 juta disita LKM tamat tempoh, tiada insurans

oleh Penyumbang Rencana|
foto JPJ Negeri Melaka
Lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM2.2 juta disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, selain tiada perlindungan insurans sah.

Semua kereta membabitkan Toyota Vellfire, BMW 523i, BMW X6 xDrive, Mercedes Benz C250 CGI dan Mercedes Benz E250 Avantgarde yang masing-masing disita melalui Op Luxury minggu lalu.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata operasi dijalankan tiga hari bermula 14 April lalu bertujuan mengesan pemilik kenderaan mewah yang mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.

Menerusi operasi itu, JPJ melakukan pemeriksaan rambang terhadap beberapa kenderaan dikenal pasti di Jalan Taman Sentosa, Jalan Padang Keladi, Jalan Taman Merak Mas dan Jalan Bukit Senjuang.

"Hasilnya lima kenderaan mewah disita masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 67 tahun.

"Lebih mengejutkan semakan mendapati pemandu Mercedes Benz C250 CGI dan Mercedes Benz E250 Avantgarde berusia 53 dan 46 tahun tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Semua kenderaan disita kemudian dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya tidak akan…
Berita Domestik
Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia menggunakannya kenderaan berkenaan sejak minggu lalu…
Berita Domestik
​Menurutnya, sebelum ini pihak syarikat telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM11,000 serta…