Lima FAKTA Toyota Vios & Yaris teman urban terbaik anda!

oleh Mohamad Hanif|
Jikalau dahulu, kereta hanya berfungsi sebagai satu mod pengangkutan untuk membawa kita dari titik A ke titik B, namun fungsi tersebut nampaknya kian meluas selari dengan peredaran masa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengambil contoh kereta-kereta yang dipasarkan di dalam segmen B, anda sendiri mungkin rambang mata untuk memilih model yang bersesuaian dengan kemampuan, dan paling penting ia mampu memenuhi keperluan gaya hidup seharian.

Usah pening kepala, ini kerana kembar Vios dan Yaris yang kami akan bawakan kali ini memiliki kekuatan yang tersendiri dan boleh dijadikan sebagai teman urban terbaik anda.
 

Poin 1: Kereta yang selamat


Kereta yang selamat bukan sahaja kukuh dari segi casis, malah ia juga perlu hadir dengan ciri keselamatan yang menyeluruh (baik dari segi aktif dan pasif) untuk melindungi penumpang daripada insiden yang tidak diingini.

Satu pujian harus diberikan kepada UMW Toyota kerana berjaya menawarkan kelengkapan keselamatan yang cukup lengkap untuk model di dalam segmen aras mula, baik untuk Vios mahupun kembarnya Yaris.

Ini kerana kedua-dua model tersebut mendapat ciri menyeluruh seperti tujuh beg udara SRS, ABS, EBD, VSC dengan Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, serta penambahan ciri keselamatan aktif seperti Sistem Pra Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Laluan (LDA), Sistem Pemantauan Atitik Buta (BSM) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Selain daripada akronim-akronim keselamatan yang disebutkan tadi, ciri dashcam atau kamera perakam pemanduan (DVR) juga turut ditawarkan secara standard pada Vios dan Yaris.

Jadi dah tak perlu nak peningkan kepala memilih dashcam, semuanya siap terus dari kilang!
 

Poin 2: Impresi pertama itu penting!


Untuk sesebuah kereta, pandangan pertama itu memainkan peranan penting untuk menonjolkan gaya hidup anda yang serba aktif itu.

Kemaskini facelift bagi Vios dan Yaris kini membawakan rupa yang tampak lebih mewah, dengan rekaan bampar hadapan seakan model-model Lexus yang lebih mahal, serta rim aloi bersaiz 16 inci yang lebih stailo.

Selain daripada itu, unit lampu hadapan juga mendapat perubahan besar dengan menampilkan unit LED dengan kombinasi lampu nyalaan siang DRL LED yang elegan, serta didatangkan dengan fungsi Follow-me-home.  

Sekurang-kurangnya, Vios dan Yaris kini boleh parkir sama kacak dengan abangnya Corolla dan Camry, serta saudara Lexus-nya.
 

Poin 3: Ruang kabin yang lebih mementingkan fungsi


Salah satu kelebihan yang ada pada mana-mana ruang kabin kereta Toyota adalah susun atur yang lebih mementingkan fungsi berbanding  rekaan yang berlebihan.

Memetik kata-kata terkenal, “Function over Form”.

Untuk Vios dan Yaris, para jurutera Toyota bijak memainkan ruang yang ada untuk memberikan perasaan kabin yang luas, seperti contoh rekaan papan pemuka yang ringkas tanpa rekaan yang berlebihan diikuti dengan konsol tengah yang turut didatangkan dalam warna gelap.

Selain daripada mencipta impresi yang lebih bergaya, tempat duduk balutan kulit yang ada pada Vios dan Yaris direka untuk menawarkan keselesaan yang tersendiri, dibantu dengan perehat tangan untuk kedua-dua baris tempat duduk.

Keselesaan juga turut diberikan keutamaan menerusi ciri cermin pandang belakang elektrokromatik bagi menghindarkan silau cahaya ketika waktu malam, dan sistem pendingin hawa automatik paparan digital yang berupaya mengekalkan suhu kabin yang optimum sepanjang pemanduan.


Poin 4: Kekal berhubung dengan dunia luar


Setiap orang wajib membawa sekurang-kurangnya satu peranti pintar, namun sangat leceh apabila kita perlu membawa pelbagai aksesori yang menambahkan berat seperti powerbank dan tempat pemegang peranti pintar.

Terlalu banyak benda yang berpaut di papan pemuka menjadikan pandangan tidak begitu menyenangkan, jadi sambungkan sahaja peranti pintar anda dengan sistem infotainmen yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain daripada itu, sistem pengecasan peranti pintar Qi tanpa wayar juga turut tersedia bagi memudahkan peranti anda kekal bertenaga sepanjang perjalanan.

Terdapat juga tambahan slot pengecasan USB yang disediakan untuk kemudahan penumpang mengecas peranti masing-masing.

Tidak dilupakan, dengan ciri Vehicle Telematics System (VTS) anda kini boleh mengetahui status semasa kenderaan seperti kondisi bateri dan lokasi dengan hanya satu sentuhan di hujung jari sahaja.

Moden bukan?
 

Poin 5: Enjin berkuasa, jimat bahan api, apa lagi yang anda mahu?


Ciri yang dicari-cari oleh rakyat Malaysia, boleh memecut tanpa berpeluh dahi dan dalam masa yang sama tidak perlu kerap singgah ke stesen minyak untuk mengisi RON95.

Untuk kenderaan kegunaan seharian, tidak perlu teknologi yang canggih-manggih, cukuplah sekadar enjin 1.5 liter 2NR-FE berkuasa 105 hp dan daya kilas 140 Nm yang terbukti tahan lasak itu.

Dengan gandingan transmisi CVT, penggunaan bahan api untuk kedua-dua Vios dan Yaris adalah menjimatkan, iaitu sekitar 5.9 liter untuk setiap 100 km.

Berdasarkan pandu uji yang telah dibuat sebelum ini, Vios dan Yaris merupakan antara kereta segmen B yang menawarkan pemanduan yang cukup menyenangkan, ruang kabin yang senyap, serta tidak lokek ruang barang (Vios 506 liter, Yaris 286 liter).

Inginkan penampilan dan pemanduan yang lebih sporti, Vios GR-S merupakan jawapan yang sesuai - rim yang lebih besar, suspensi yang ditala khusus, serta talaan transmisi yang menawarkan sehingga 10 nisbah kelajuan.
 

Tidak cukup lima poin yang kami berikan?


Promosi bulan Mei yang dijalankan oleh UMW Toyota kini menawarkan bayaran bulanan serendah RM493 menerusi pelan EZ Beli, serta potongan rebat sehingga RM5,500 untuk kedua-dua model Vios dan Yaris.

Dengan jaminan lima tahun dan jarak perbatuan tanpa had, sudah pasti anda tidak perlu pening kepala sepanjang pemilikan Vios ataupun Yaris.

Berita Berkenaan

Informasi
Bukan itu sahaja, sejak generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2003, ia kekal menjadi sedan…
Sukan Bermotor
Perlumbaan 1 pada hari Sabtu (3 Jun) menyaksikan pelumba muda memberikan saingan sengit kepada…
Sukan Bermotor
2 perlumbaan pusingan 2 yang berlangsung pada hujung minggu lepas (19-21 Mei) di Chang…