Lima beranak berumah dalam kereta

oleh SALINA JALIL|
Pengalaman perit pernah dilalui S Ganesh, 34, dan isteri, Parameswari, 32, yang terpaksa berlapar kerana tidak mempunyai wang dan makanan.


Kisah sedih lima beranak ini bermula selepas rumah mereka di Lebuh Carnavon, di sini, terbakar pada 6 April lalu, menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.


Lebih malang lagi bayi diberi minum kopi, dua lagi anak hanya menjamah kepingan biskut bagi mengalas perut ketika terputus bekalan makanan.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Parameswari  terpaksa berumah di dalam kereta bersama suami dan anak mereka, Girthikanesh, 8, serta Devi Shri, 6. Untuk bekalan air dan membersihkan diri, sumber mereka adalah tandas awam di beberapa lokasi.

 

"Sehinggalah dua minggu selepas rumah terbakar, saya melahirkan anak ketiga, Kirthana dan berpantang di dalam kereta. Kirthana kini berusia lapan bulan diberi susu badan, namun pernah saya terpaksa beri dia air suam dan air kopi kerana tidak sanggup melihatnya kelaparan," katanya.

 

Ketika ditemui di Jalan Sepoy Lines, di sini, hari ini, Ganesh berkata, setiap hari mereka hanya mengalas perut dengan mi segera atau kuih berasaskan tepung yang dimasak menggunakan dapur kecil.

 

Katanya, wang gaji RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan digunakan sebaik-baiknya bagi membeli lampin pakai buang, mengisi minyak kereta dan membaiki kerosakan kereta milik ibunya itu.

 

"Memang ada hasrat nak sewa rumah, tetapi ia perlukan deposit agak tinggi dan kami tiada wang sebanyak itu. Kami juga sudah dua kali memohon menyewa unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun masih tiada jawapan daripada kerajaan negeri.

 

"Saya ada adik-beradik, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka kerana saya faham mereka juga sedang bergelut dengan kesempitan hidup pada masa ini," katanya lagi.

 

Terdahulu, keluarga malang itu menerima kunjungan Persatuan Hindu Pulau Pinang, diketuai Presidennya, P Murugiah yang memberi sumbangan makanan dan akan membiayai kos penginapan keluarga itu di hotel bajet sehingga permohonan menyewa rumah PPR diluluskan.

 

Kepada mereka yang ingin menyumbang barang-barang keperluan, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Persatuan Hindu Pulau Pinang atau sumbangan wang tunai di akaun Bank Simpanan Nasional , nombor akaun 0204 5428 5010 0013 (Ganesh A/L Soundarajah).

 

 

 

Berita Harian