Lightyear One - EV dengan panel solar bumbung range-extender, mampu capai 725 km!

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini bukanlah kali pertama pengeluar EV memperkenalkan model yang hadir dengan panel solar, memandangkan Sono Motors dari Jerman juga telah memperkenalkan kereta elektrik Sion dengan jarak operasi 250 km. 

Namun, Lightyear mendakwa prototaip EV One yang diperkenalkan ini boleh menawarkan jarak operasi yang lebih jauh. 

Ya, Lightyear One dibuktikan mampu untuk mencapai jarak operasi sejauh 725 km mengikut kitaran WLTP, sedikit rendah berbanding jarak yang didakwa sebelum ini (800 km). 
 


Tidak seperti kereta EV yang lain, Lightyear menambah panel solar bersaiz 5 meter persegi yang turut berfungsi sebagai bumbung panoramik yang sangat besar. 

Menurut Lightyear, sel fotovoltaic yang terdapat pada panel solar ini mampu menjana tenaga yang cukup bagi membolehkan EV One ini bergerak sejauh 20,000 km setahun!

Pun begitu, panel solar ini hanya bertindak sebagai sebuah unit penambah jarak (range-extender) sahaja, dan anda masih perlu bergantung kepada kemampuan pek bateri yang disertakan untuk bergerak sejauh 725 km.
 


Ini bermakna, jika stesen pengecasan penuh dengan kebanjiran EV, anda boleh mengecas Lightyear One ini ditengah panas tengah hari dan masih mampu mendapat jarak sekitar 12 km per jam (atau hampir 100 km jika diparkir seharian). 

Sistem pengecasan pantas 60 kW yang disertakan mampu memberikan anda jarak sejauh 500 km untuk setiap jam masa dihabiskan. 
 


Untuk bergerak, Lightyear One dilengkapi dengan motor elektrik untuk setiap sudut yang direka untuk keberkesanan pemanduan yang maksimum dan mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 10 saat. 

Dari segi luaran, selain daripada pemasangan panel solar yang besar itu, Lightyear turut memfokuskan kepada rekaan badan yang mampu mengurangkan geseran ketika bergerak. 

Ketika ini, Lightyear One mampu memberikan bacaan pekali seret (Cd) serendah 0.20 namun syarikat ini optimis mereka mampu mendapatkan bacaan yang lebih rendah ketika kereta ini mula dijual.
 


Lightyear mensasarkan penghantaran EV One ini bermula tahun 2021 dengan harga jualan yang agak tinggi, sekitar €149,000 (RM702 ribu) melihatkan kepada teknologi yang ditawarkan. 

Namun, apa yang dirisaukan ialah bagaimana EV dengan panel solar ini mampu beraksi di dunia sebenar. 

Bolehkah ia mendapatkan bacaan yang menghampiri apa yang didakwa oleh Lightyear?