Lightfield Display - skrin paparan 3D sebenar dari Continental, Leia

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menerusi satu kerjasama dengan syarikat Silicon Valley, Leia Inc, Continental kini membangunkan sebuah solusi baharu bagi kokpit kenderaan masa hadapan, yang dinamakan sebagai Lightfield Display. 

Sistem paparan tiga dimensi ini bukan sekadar memberikan paparan informasi, malah elemen navigasi pemetaan serta papan tanda amaran juga boleh dipancarkan tanpa memerlukan peranti khas. 

Menurut Frank Rabe, ketua unit perniagaan Instrumentasi dan Pemandu HMI di Continental berkata, "salah satu cabaran terbesar di dalam industri automotif adalah untuk membangunkan konsep pintar yang menghubungkan interaksi antara manusia dan mesin. 

"Ini adalah penting bagi memastikan pemandu senantiasa menerima informasi terkini tanpa perlu mengalihkan perhatian daripada pemanduan sepanjang masa," ujarnya. 

Teknologi Lightfield yang digunakan pada paparan 3D ini menariknya tidak memerlukan sebarang peranti khas, malah paparan tersebut boleh dilihat daripada pelbagai sudut di dalam kenderaan itu sendiri. 
 


Ini adalah kerana paparan imej tiga dimensi yang dihasilkan terdiri daripada lapan jenis gambar perspektif daripada objek yang serupa, dan boleh berubah mengikut sudut pandangan daripada pengguna itu sendiri, baik dari pemandu mahupun dari penumpang belakang.

Menurut Continental lagi, modul Lightfield ini boleh diintegrasikan kepada mana-mana skrin paparan yang terdapat di pasaran dengan mudah. 

Selain daripada itu, Continental juga kini meneroka kandungan lain seperti panggilan video, permainan mudah alih dan paparan video tiga dimensi sebagai aktiviti tambahan kepada sistem paparan Lightfield.

Ia dijangka akan memasuki fasa pengeluaran seawal tahun 2022.