Liberalisasi Insurans Motor - betulkah harga premium meningkat?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bermula dari 1 Julai 2017, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memulakan proses liberalisasi untuk tarif insurans motor (kenderaan).

Apa yang dimaksudkan ialah harga premium insurans akan menjadi fleksibel untuk produk insurans kenderaan komprehensif, insurans kebakaran dan kecurian kenderaan.

Premium bagi produk motor pihak ketiga akan terus tertakluk kepada kadar tarif kerana ini disasarkan untuk mereka yang benar-benar tidak berkemampuan, atau untuk kenderaan yang sudah lama. Oleh itu, BNM mahu melindungi kepentingan mereka ini dan buat masa sekarang, BNM yang akan menetapkan harganya.

Namun begitu, bagi produk-produk lain yang disebutkan awal tadi, harga akan bergantung kepada banyak faktor.

Buat masa sekarang, ramai yang berkata harga akan meningkat walhal ini tidak semestinya berlaku.

 

Suami isteri berdiskusi

 

Mari kita kaji secara ringkas kenapa ia berlaku dan apa yang akan kita sebagai pengguna akan hadapi.

Bagaimana premium insurans dikira selama ini?

Premium insurans yang anda bayar setiap tahun bergantung kepada Tarif Motor yang berkaitan dengan faktor-faktor ini:

  • Model kenderaan
  • Nilai diinsuranskan

Kedua-dua faktor itu memang sama dan tidak berubah. Namun begitu, syarikat insurans dan takaful dibenarkan untuk memberikan diskaun atau premium lebih berdasarkan faktor-faktor ini pula:

  • Rekod tuntutan pemandu atau Non Claim Discount (NCD). Ia mampu pergi kepada diskaun maksima 55 peratus.
  • Umur pemandu
  • Jumlah kemalangan yang pernah pemandu alami
  • Usia kenderaan

Di atas ialah cara asas premium insurans kita dikira selama ini

Masalah dengan cara ini ialah premium insurans anda akan tetap sama walaupun risiko berlainan. Contohnya:

Kes Abu

Abu mempunyai sebuah Toyota Hilux. Dia menyimpan Hilux beliau di dalam kawasan rumah. Rumah Abu mempunyai kawalan keselamatan. Hilux Abu sendiri dipasang dengan tiga sistem penggera dan sistem GPS untuk menjejaki Hilux itu sekiranya ia dicuri. Abu memandu Hiluxnya sejauh 10,000 km setiap tahun dan beliau tidak pernah kemalangan.
Abu membayar RM1,800 setahun untuk premium insurans Hilux itu.

Kes Ahmad

Ahmad juga mempunyai sebuah Toyota Hilux. Ahmad meletakan Hilux beliau di tepi jalan berhadapan dengan kondominium tempat tinggalnya. Hilux Ahmad menggunakan sistem penggera asal dari kilang. Setiap tahun, Ahmad memandu sejauh 40,000 km dengan Hilux itu.
Ahmad juga membayar RM1,800 setahun untuk premium insurans trak pikap tersebut.

Adakah adil Abu membayar premium yang sama walhal risiko Hiluxnya dicuri atau kemalangan jauh lebih rendah dari Ahmad?

 

ford ranger
Trak pikap antara kenderaan berisiko tinggi kerana sering dicuri atau penggunanya memandu offroad. Kesemua ini adalah risiko tambahan.

 

Apa beza dengan liberalisasi insurans motor nanti?

Liberalisasi bermaksud pasaran terbuka, di mana harga tidak lagi ditetapkan oleh badan kerajaan.

Ia seperti tiket kapal terbang, syarikat penerbangan tidak perlu mengikut harga kawalan oleh kerajaan seperti dahulu. Syarikat penerbangan sekarang boleh menandingi harga pesaing perniagaan mereka dan kerana itu pengguna sekarang dapat terbang dengan harga yang sangat rendah.

Sama juga dengan insurans motor di mana syarikat insurans dan takaful akan meletakkan harga premium mereka sendiri berdasarkan faktor-faktor risiko yang akan ditetapkan oleh mereka sendiri.

Faktor-faktor yang bakal menurunkan premium insurans/takaful kenderaan anda mulai 1 Julai 2017

Lebih banyak faktor risiko akan diambil kira untuk bayaran premium insurans kenderaan kita nanti.

Walaupun BNM telah mengumumkan bahawa kadar NCD masih sama, akan ada banyak faktor lain yang akan menentukan harga premium insurans kenderaan anda nanti.

Cara ini sudah lama dilakukan di US dan di Eropah dan UK. Apa yang kami senaraikan di bawah MUNGKIN akan digunakan sebagai faktor untuk MENURUNKAN atau MENAIKKAN premium insurans kenderaan anda.

Keupayaan enjin dan jenis kenderaan.
Kereta dengan kuasa kuda lebih tinggi pasti menerima premium yang lebih tinggi. Contohnya, Proton Persona 1.6L pastinya akan menerima premium lebih rendah dari Proton Suprima 1.6L Turbo (jika kita anggapkan harganya sama).

Umur kenderaan
Kenderaan yang berusia akan mudah rosak dan mungkin mengalami masalah alatganti. Premium boleh dinaikan berdasarkan faktor ini.

Toyota GT86
Pemandu muda dengan kereta sport akan pasti menerima premium tinggi kerana risiko yang meningkat, kecuali kita boleh jamin pemandunya membawa dengan tertib dan bersopan-santun.

 

Umur pemandu
Sekiranya anda seorang lelaki yang berusia 21 tahun dan anda memandu sebuah kenderaan dengan enjin turbo, premium pasti lebih tinggi dari kereta yang sama jenis tetapi dipandu oleh seorang wanita yang berusia 50 tahun.

Sistem penggera kenderaan
Kenderaan yang lengkap dengan sistem penggera anti kecurian sepatutnya akan menerima premium yang lebih rendah. 
Malah sekiranya anda memasang penggera tambahan yang diluluskan oleh industri insurans (standard piawaian Thatcham contohnya), premium anda patut boleh turun lebih rendah.

Pemasangan dashcam
Di Russia, pihak insurans mewajibkan pemasangan dashcam. Ini mungkin terjadi di sini kerana dashcam membantu penyiasatan kemalangan dan menentukan siapa yang bersalah dan patut membayar.

 

Dashcam

 

Tempat simpan kenderaan
Jika anda boleh buktikan anda menyimpan kenderaan anda di dalam garaj rumah dan kawasan rumah anda berpagar dan mempunyai kawalan sekuriti, premium anda sepatutnya lebih rendah dari mereka yang meletakan kenderaan di kawasan terbuka di tepi jalanraya.

Anda pergi offroad?
Offroading seronok bukan? Jika anda masuk off-road, kenderaan 4X4 atau trak pikap anda mungkin akan menerima premium yang lebih tinggi juga kerana risiko kerosakan lebih tinggi dari penggunaan di jalanraya.

 

surat saman

 

Rekod kesalahan jalanraya
Dengan adanya sistem demerit untuk lesen pemandu, pihak insurans mampu membaca samada anda ini pemandu yang bagus atau yang merbahaya. Pemandu yang selamat akan menerima premium yang lebih rendah.

Anda buat Uber atau Grab?
Jika anda menggunakan kenderaan anda untuk Uber dan Grab, risiko perjalanan meningkat dan pihak insurans boleh meningkatkan premium. Namun begitu, pihak insurans mungkin boleh menghasilkan pakej yang lebih murah untuk tujuan Uber/Grab berbanding dengan cara sekarang.

Jarak perbatuan setahun
Sekiranya anda cuma memandu kenderaan anda sejauh 20,000 km setahun, pastinya premium akan lebih rendah dari mereka yang memanduan kenderaan mereka sejauh 60,000 km setahun.

Liberalisasi sebenarnya jauh lebih adil kepada syarikat insurans dan jugak kepada pengguna. Ia mendidik pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya agar lebih berdisiplin dan lebih berwaspada akan keadaan kenderaan mereka.

 

Driving picture
Mekanisma kali ini akan memberikan kelebihan kepada pemandu yang berhemah dan berdisiplin. Pemandu yang mempunyai banyak saman pasti akan dikenakan premium yang tinggi.

 

Syarikat insurans dan takaful juga mampu memberikan diskaun dan promosi yang lebih baik kerana adanya persaingan yang lebih terbuka. 

Jika dahulu, kita bandingkan tawaran polisi insurans dengan melihat siapa yang akan berikan payung percuma atau saguhati lain tetapi sekarang, kita benar-benar mampu membandingkan pakej-pakej insurans yang ada dengan lebih tepat dan lengkap.

Dengan terlancarnya Liberalisasi  Insurans Motor ini juga, negara kita bergerak setapak lebih dekat ke arah pencapaian negara maju.

 

* Info dan data diambil dari Bank Negara Malaysia dan majalah Ringgit, terbitan BNM dan FOMCA.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pelancaran produk baharu HELLA Retrofit LED itu dijalankan secara ekslusif bersama-sama auto2u.my,…
Berita Domestik
Ujian-ujian oleh Careta membuktikan mentol Narva memang lebih fokus dari kebanyakan jenama mentol…
Informasi
  Pada suatu ketika dulu, ketika lampu putih mula muncul, ia cuma ada dalam bentuk HID.  High…