Lexus UX 300e - EV pertama Lexus, mampu capai 400 km sekali cas!

oleh Mohamad Hanif|
Walaupun pada acara Tokyo Motor Show Lexus telah memperlihatkan sebuah model konsep futuristik Lexus LF-30 Electrified, ia bukanlah model produksi massa elektrik yang pertama hadir dari jenama mewah tersebut.

Sebaliknya, produk pertama EV Lexus hadir dalam bentuk crossover mewah UX dengan nama rasminya UX 300e. 

 


Dibina berdasarkan SUV subkompak yang dilancarkan pada tahun lalu, Lexus UX 300e membawakan konfigurasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 201 hp yang diposisikan pada gandar hadapan. 

Sistem pek bateri lithium-ion berkapasiti 54.3 kWh pula mampu memberikan jarak operasi sejauh 400 kilometer sekali cas penuh mengikut data kitaran NEDC. 

 


Untuk memaksimumkan ruang, pek bateri ini diletakkan rendah di bawah lantai yang memberikan efek titik graviti yang lebih rendah, sekaligus meningkatkan pengendalian pemanduan yang lebih cemerlang. 

Bahagian bawah crossover ini membawakan rekaan yang serba rata bagi meningkatkan kadar aerodinamik kenderaan ketika bergerak di atas jalan raya. 

 


Fokus turut diberikan kepada NVH dan dinamik pemanduan di mana Lexus UX 300e turut menawarkan beberapa mod pemanduan yang bersesuaian, serta ciri paddle shifter (ya!) yang boleh digunakan oleh pemandu untuk perasaan pemanduan yang lebih dekat di jiwa. 

Lexus UX 300e memiliki ciri unik Active Sound Control (ASC) di mana sistem ini akan mentransmit bunyi ambien natural yang membenarkan pemandu memahami kondisi pemanduan semasa, serta memberikan perasaan yang lebih asli untuk para penumpang di dalam kabin.


Untuk mengisi kembali tenaga yang habis digunakan, Lexus UX 300e memiliki keupayaan pengecasan pantas DC 50 kW yang boleh digunakan pada fasiliti pengecasan CHAdeMo. 

Lexus UX 300e akan mula dijual di China dan Eropah bermula tahun hadapan, manakala negara kelahirannya Jepun akan mula menerima model ini seawal tahun 2021. 

 

Add new comment

Careta Ad