Kini, Lexus melangkah setapak ke hadapan dengan membawakan model baharu crossover tiga baris tempat duduk Lexus TX 2024, menggunakan asas daripada SUV Toyota Grand Highlander yang wujud di Amerika Syarikat.
Sama seperti Grand Highlander, Lexus TX ini menggunakan platform unibodi TNGA-K, di mana ia membawakan ukuran sepanjang 5,159 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,781 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,949 mm.
Terdapat beberapa penambahbaikan dibuat bagi meminimumkan kadar kekasaran, gegaran dan bunyi bising, selain struktur sistem stereng yang telah diperkukuh dan dipertingkatkan.
Lexus TX boleh didapati dengan tiga pilihan trenkuasa:
TX 350
• Enjin 2.4 liter turbo
• 275 hp, 429 Nm
• Transmisi 8AT
TX 500h F Sport Performance
• Enjin 2.4 liter turbo hibrid
• 366 hp, 554 Nm
• Transmisi 6 kelajuan
• Sistem AWD Direct4
• Sistem Dynamic Rear Steering
TX 550h+
• Enjin 3.5 liter V6 PHEV
• 406 hp
• Transmisi CVT
• sistem AWD Direct4
• Jarak gerak sifar emisi 53 km
Reka bentuk luaran Lexus TX dilihat sedikit lembut, dengan kehadiran jeriji "Unified Spindle" yang menerapkan unsur aerodinamik, lampu LED beserta lampu nyalaan siang seakan anak panah, rekaan tingkap yang luas, bumbung 'terapung', serta pilihan rim bersaiz 20 atau 21 inci.
Bahagian belakang pula adalah tipikal model Lexus, dengan unit lampu berbentuk bar yang melintang penuh, diikuti dengan perkataan LEXUS di bahagian tengah pintu.
Susun atur papan pemuka Lexus TX adalah lebih berorientasikan pemandu, dengan kehadiran skrin kluster digital 12.3 inci, diikuti dengan skrin infohibur 14 inci yang diposisikan menghadap pemandu.
Selain itu, terdapat skrin paparan head-up berwarna, sistem audio premium Mark Levinson dengan 21 pembesar suara, tempat duduk dengan ciri pemanas dan ventilasi, pintu tailgate berkuasa, serta tempat duduk baris kedua yang juga dilengkapi dengan fungsi kawalan iklim dan pemanas.
Sama seperti model Lexus moden, Lexus TX turut dilengkapi dengan kemudahan pengecasan peranti pintar tanpa wayar, dan bukaan pintu e-Latch.
Ruang kargo Lexus TX adalah sebesar 569 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, dan boleh dibesarkan sehingga 1,625 liter atau 2,747 liter apabila dua baris tempat duduk baris belakang dilipat sepenuhnya.
Kelengkapan keselamatan Lexus Safety System+ 3.0 merangkumi ciri seperti kawalan jelajah radar dinamik untuk semua kelajuan, bantuan pengesanan lorong, sistem pra-pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, bantuan papan tanda jalan dan sistem bantuan pemanduan proaktif.
Terdapat juga sistem Advanced Park untuk membantu pemandu meletakkan kenderaan dengan lebih baik, diikuti Traffic Jam Assist untuk pemanduan bebas tangan pada kelajuan rendah.
Generasi baharu Lexus TX akan dipasang di kilang Toyota Princeton, Indiana, menjadikannya model Lexus pertama yang dipasang di situ serta model Lexus PHEV pertama yang dibina di Amerika Utara.