Terbaru Lexus memperkenalkan satu sistem canggih pada model elektrik RZ yang dikenali sebagai Radiant Heating untuk pemanasan pemandu dan penumpang.
Melalui RZ, Lexus membawa elemen hospitaliti omotenashi dengan menggunakan dua panel iaitu di bawah turus stereng (steering column) dan di bawah panel instrumen.
Sistem itu berfungsi dengan memanaskan kaki pemandu dan penumpang menggunakan pemanasan infra merah.
Sistem itu hanya mengeluarkan haba apabila diperlukan dan mengurangkan beban pada sistem penyaman udara selain membantu mengekalkan jarak pemanduan.
Berbanding sistem kawalan suhu standard, penggunaan tenaga dapat dikurangkan sekitar lapan peratus.
Secara ringkas, kaedah yang digunakan itu seperti selimut yang membalut kaki seseorang individu.
Tentang keselamatan pula, panel pemanas akan mengurangkan suhu kepada 43 darjah selsius secara automatik jika tersentuh anggota badan.
Sistem ini adalah tambahan kepada fungsi pemanasan kabin standard RZ dan juga pemanas kerusi dan stereng.
Sebagai sebuah model premium, fungsi Radiant Heating adalah satu daripada ciri Lexus Climate Concierge yang melaras suhu di dalam kereta secara automatik.
Sistem itu menggabungkan fungsi penyejukan dan pemanasan kabin, kerusi dan stereng dan membuat pelarasan sistem secara automatik untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
Canggih bukan? Suhu pun boleh dilaras secara automatik.
Lexus RZ diperkenalkan pada April 2022 dan bakal memasuki beberapa pasaran antarabangsa seperti Australia pada pertengahan 2023.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit: Lexus Australia