Lexus RX 450h+ 2024 kini dengan sistem PHEV, 304 hp, jarak gerak sifar emisi 56 km

oleh Mohamad Hanif|
SUV mewah Lexus RX generasi kelima telah pun dilancarkan di peringkat global pada Mei tahun lepas, sebelum ia masuk secara rasmi di pasaran Malaysia pada pertengahan tahun (Mei 2023) yang lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Pada mulanya, Lexus RX boleh didapati dengan tiga pilihan trenkuasa, dan yang terbaharu pembeli di Amerika Syarikat boleh mendapatkan varian plug-in hybrid (PHEV) Lexus RX 450+.

Ia sekaligus menjadikannya pilihan enjin kedua paling berkuasa untuk barisan model RX.
 

lexus


Lexus RX 450h+ membawakan tetapan enjin 2.5 liter, dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion berkapasiti tinggi, dengan kuasa 304 hp, dan prestasi pecutan 0-96 km/j dalam masa 6.2 saat.

Kelajuan tertinggi dihadkan secara elektronik kepada 200 km/j, sementara pek bateri pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 56 km untuk sekali cas penuh.

Dengan pengecasan Level 1 dan arus pengecasan maksimum 240V, bateri tersebut boleh dicas penuh dalam masa dua jam setengah dengan pengecasan 6.6 kW yang tersedia.
 

lexus


Secara standard, Lexus RX 450h+ mendapat ciri seperti fungsi pemanas dan penyejuk tempat duduk, sistem pencahayaan ambien, pemanas roda stereng, bumbung kaca panoramik, sistem audio Mark Levinson dengan 21 pembesar suara, serta rim bersaiz 21 inci.

Selain itu, Lexus RX 450h+ turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ 3.0 yang merangkumi sistem pra-pelanggaran (PCS), bantuan pemanduan proaktif (PDA), bantuan papan tanda jalan (RSA), amaran keluar lorong (LDA), bantuan pengesanan lorong (LTA), kawalan jelajah radar dinamik (RDCC) untuk semua julat kelajuan, serta bantuan suluhan tinggi pintar (IHB).
 

lexus


Lexus RX 450h+ ini bakal tersedia di pasaran Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini, dengan harga jualan bermula dari $70,080.