Edisi Terakhir: LS500 Heritage Edition

Untuk meraikan perpisahan ini, Lexus memperkenalkan LS500 AWD Heritage Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 250 unit khusus untuk pasaran Amerika Syarikat. Model tahun 2026 ini hadir dengan warna eksklusif Ninety Noirdipadankan dengan kabin Rioja Red, serta dilengkapi sistem audio premium Mark Levinson 23-speaker. Harga ditetapkan pada USD99,280 (sekitar RM466,000.00) termasuk kos penghantaran.

Revolusi Sedan Mewah Jepun
Sewaktu diperkenalkan pada 1990, LS dianggap sebagai satu revolusi menawarkan keselesaan, ketahanan dan kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah berbanding sedan Jerman ketika itu. Malah, ia menjadi simbol bahawa Jepun mampu bersaing dalam arena kenderaan mewah, sama seperti bagaimana Korea kini melalui Genesis.
Namun, trend pasaran yang semakin berpihak kepada SUV dan crossover menyebabkan jualan sedan mewah terus merudum. Walaupun LS kekal sebagai sebuah kereta yang penuh karisma dan mewah, ia gagal mengekalkan daya saing dalam pasaran yang semakin kecil bagi sedan segmen besar.
Memori Sebuah Ikon
Generasi pertama LS menjadi bukti keberanian Lexus hadir pada era di mana sistem seperti ABS dan kawalan cengkaman dianggap sebagai kemewahan. Kini, selepas 36 tahun, LS bakal dikenang sebagai model yang mengubah landskap sedan mewah dunia, meskipun akhirnya tunduk pada perubahan citarasa pasaran.
Dengan berakhirnya produksi LS selepas 2026, satu lagi ikon sedan meninggalkan pentas, menandakan bahawa tiada model empat pintu yang benar-benar kebal terhadap arus perubahan industri automotif.
Sumber: Car and Driver