Tambahan dua tempat duduk di belakang bermakna bos syarikat boleh membawa lebih ramai pegawai untuk bermesyuarat atau berbincang.
Pemasangan kerusi di belakang tidak diambil mudah sementelah melibatkan jenama mewah Lexus.
Lexus memastikan terdapat jarak yang cukup di antara penumpang depan, belakang, kanan dan kiri supaya semua penumpang dapat duduk dengan selesa.
Turut diambil kira penggunaan suis-suis kawalan. Kerusi baris kedua dilengkapi panel pelbagai operasi pada setiap sisi.
Konsol pada siling berbeza daripada model empat kerusi dan mengambil kira kegunaan untuk penumpang belakang yang bertambah.
Penyandar kepala penumpang boleh ditolak ke depan atau dilaras naik dan turun.
Satu lagi kelebihan LM ialah fungsi Rear Climate Concierge dengan empat tetapan utama iaitu Dream, Relax, Focus dan Energize selain mod yang boleh diatur sendiri penumpang.
Setiap mod mempunyai tetapan berbeza seperti penyejukan yang ditumpukan pada badan, ruang dan nyalaan lampu. Mod Energize melaras pemanas kerusi dan lampu.
Version L mempunyai dua warna iaitu Solis White dengan riasan tembaga dan Hitam yang dipadan bersama riasan perak.
Semasa membangunkan kerusi, Lexus menganalisa pergerakan badan secara teliti bagi memastikan penumpang berada dalam keadaan tenang dari mana-mana kerusi.
Lexus menumpukan perhatian kepada fakta bahawa pergerakan kepala mempunyai kesan besar kepada keletihan.
Apa yang dibuat ialah menyebarkan tekanan badan pada kerusi dan menyokong bahagian utama.
Rekaan kerusi mempunyai struktur yang menyokong badan pada bahagian pinggang dengan pelvis yang sedikit menegak dan menjadikan kerusi sangat selesa.
Rekaan kerusi depan mengoptimumkan pembahagian tekanan permukaan pada permukaan tempat duduk dan memegang badan walaupun membelok pada kadar G yang tinggi.
Lexus bersungguh dalam menghasilkan persekitaran tempat duduk yang mengurangkan keletihan dan membolehkan pengguna menumpukan pada pemanduan.
Kerusi baris kedua menggunakan dua jenis bahan yang menyerap gegaran dan balutan lembut.
Rekaan itu dibuat bagi menghasilkan struktur yang dapat menyokong badan semasa kereta berhenti dan mula bergerak.
Bagi menahan gegaran kerusi yang terjejas akibat permukaan jalan, Lexus menggunakan getah anti gegaran di antara rangka kusyen dan rangka kaki.
Alas tangan direka melengkung untuk kedudukan siku yang natural. Kerusi baris ketiga juga sama seperti baris kedua yang menyokong badan penumpang.
Bahagian sandaran dan kusyen dibuat tebal untuk keselesaan. Bentuk bahagian belakang juga dioptimum untuk kedudukan badan yang lebih natural semasa kerusi dicondongkan.
Selain itu, bentuk bahagian belakang juga dioptimumkan untuk kedudukan badan yang lebih natural semasa kerusi dicondongkan.
Lagi ciri-ciri praktikaliti Lexus LM500h version L:
- Pemegang tangan yang besar pada belakang kerusi depan untuk memudahkan masuk dan keluar
- Corong penyaman udara khusus untuk penumpang baris kedua di bawah kerusi depan atau di tapak kaki penumpang baris kedua
- Konsol tengah depan dan belakang dilengkapi slot AC100V, HDMI dan kotak barang
- Kerusi baris kedua larasan elektrik dengan otoman dan penyandar kepala saiz besar
- Sistem pemanas dan pengudaraan kerusi
- Fungsi pemanas pada alas tangan dan otoman
- Fungsi urutan dari paha sehingga belakang badan
- Meja boleh simpan di dalam kotak alas lengan, permukaan dibuat dari magnesium kekuatan tinggi
- Fungsi gelangsar elektrik yang boleh dilaras sehingga 480 mm
- Panel kawalan boleh alih pada kerusi baris kedua dengan pelbagai tetapan operasi
- Slot pengecasan USB Type-C pada bahagian bawah kerusi baris kedua
- Kerusi baris ketiga jenis lipat ke sisi dan turut dilengkapi USB Type-C
- Suis kawalan kerusi turut tersedia pada tepi pintu but
Sistem hiburan dan multimedia
- Sistem bunyi premium Lexus dengan Mark Levinson dan 21 pembesar suara
- Skrin 14 inci disimpan di dalam konsol siling dan boleh dikawal menggunakan arahan suara
- Sambungan HDMI, USB atau Miracast
Ukuran dan rangkaian kuasa:
- Ukuran (mm): 5,125 (p) x 1,890 (l), 1,955 (rim 19 inci) 1,945 (rim 17 inci) (t)
- Jarak roda (mm): 3,000
- Berat (kg): 2,440
- Enjin: T24A-FTS 2.4 liter turbo hibrid
- Kotak gear: Direct Shift-6AT
- Pacuan: Semua roda (AWD)
Di pasaran Jepun, Lexus LM500h version L dijual pada harga 15,000,000 yen (RM452,558).
Penulis: Muhammad Md Tajudin