Lexus LM rasmi dilancarkan di Thailand - varian empat/tujuh tempat duduk, dari RM739k!

oleh Mohamad Hanif|
Lexus Thailand telah pun selesai melancarkan secara rasmi unit MPV ultra-mewah Lexus LM dengan dua varian utama dan kedua-duanya ditawarkan dengan nama yang sama, iaitu Lexus LM300h.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak seperti Toyota Alphard/Vellfire, Lexus LM ditawarkan dengan pilihan empat tempat duduk atau tujuh tempat duduk yang lebih mampu milik (bagi mereka yang mampu), dan didatangkan dengan nadi hibrid 2AR-FXE 2.5 liter kitaran Atkinson yang mampu menghasilkan 154 PS dan 206 Nm. 
 


Untuk membantu menggerakkan MPV ini, sistem motor elektrik berkembar yang diposisikan pada transmisi CVT menghasilkan 143 PS/270 Nm dan sebuah lagi digandar belakang menghasilkan 68 PS dan 139 Nm. 

Secara keseluruhan, MPV Lexus LM ini mampu menghamburkan 197 PS dengan kuasa pecutan sepantas 10.5 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi 180 km/j. 
 


Untuk versi tertinggi, Lexus LM didatangkan dengan empat tempat duduk sahaja, dan kerusi baris kedua dipisahkan dengan dinding yang menempatkan skrin bersaiz 26 inci, serta sistem bunyi Mark Levinson 19 pembesar suara. 

Kerusi baris kedua selain mempunyai ciri boleh dibaringkan, ia didatangkan dengan busa AdaptiPedic yang dibaluti kulit semi-aniline dan menawarkan fungsi urut kepada penumpang di belakang. 

Terdapat juga peti sejuk di bahagian tengah untuk menyimpan minuman sejuk dan sebuah storan khusus untuk menyimpan beg anda. 
 


Untuk mereka yang mahukan sebuah people mover jenama Lexus, varian yang lebih mampu milik menawarkan sehingga tujuh tempat duduk dengan spesifikasi menyamai Executive Lounge Toyota Alphard seperti tempat duduk kapten di baris kedua. 

Selain daripada perbezaan yang disebutkan tadi, ciri standard yang hadir pada Lexus LM adalah seperti rim bersaiz 17 inci, lampu utama LED, pintu gelungsur berkuasa, sistam kawalan iklim dua zon, skrin Optitron 4.2 inci dan skrin tengah 12.3 inci, serta slot pengecasan nirwayar untuk peranti pintar. 
 


Ciri keselamatan yang hadir termasuklah Sistem Amaran Pra-Pelanggaran, Kawalan Pelayaran Adaptif, Bantuan Pengesan Laluan, Bantuan Penukaran Laluan dengan sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Bantuan Suluhan tinggi Adaptif, dan paparan belakang digital. 

Harga jualan di Thailand bermula dari 5.5 juta Baht (RM738,655) untuk versi tujuh tempat duduk, manakala versi yang lebih kedekut kerusi bermula dari 6.5 juta Baht (RM873,457). 

Sebagai perbandingan, harga jualan Alphard paling premium dengan spesifikasi Executive Lounge dijual pada harga 5.429 juta Baht (RM730,405).