Lexus LM 350 sedia untuk membawa bos anda - bermula dari RM1.15 juta

oleh Mohamad Hanif|
Lexus Malaysia secara rasminya melancarkan model baharu Luxury Mover (LM) untuk pasaran Malaysia dengan versi empat tempat duduk sahaja ditawarkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lexus LM 350 direka untuk golongan professional yang mahu melihat kenderaan mereka lebih daripada sebuah mod pengangkutan, dan dalam masa yang sama menawarkan profil yang lebih dinamik dan elegan.

Dari segi luaran, Lexus LM 350 didatangkan dengan unit lampu utama triple-beam LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk anak panah, gril hadapan spindle yang agak besar, diikuti lampu belakang LED yang melintangi penuh bahagian tersebut.

 


Keempat-empat sudut didatangkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang direka untuk mengurangkan kadar bunyi bising, dan dikemaskan dengan warna hyper chrome metallic.

Disebabkan tiada versi tujuh tempat duduk ditawarkan, tempat duduk baris kedua hanya mampu memuatkan sehingga dua orang sahaja pada satu-satu masa, disumbangkan oleh tempat duduk VIP Lounge Seats yang hadir dengan fungsi urutan Ottoman, dan keupayaan untuk dibaringkan sepenuhnya.

 


Tempat duduk itu dibaluti kemasan kulit semi-aniline, dan dibantu dengan penggunaan busa Adaptipedic yang menawarkan keselesaan tersendiri mengikut bentuk dan postur badan penumpang ketika sedang dalam perjalanan.

Di bahagian tengah tempat duduk menempatkan skrin kecil yang membenarkan akses kepada fungsi-fungsi seperti penyejukan, serta fungsi urut yang menawarkan sehingga tujuh program dan lima tetapan tekanan yang berbeza untuk keselesaan yang maksimum.

 


Memisahkan antara ruang pemandu dan penumpang di belakang adalah kehadiran 'dinding' tebal yang menempatkan Rear Seat Entertainment, merangkumi skrin sebesar 26 inci High Definition 720p, peti sejuk kecil 14 liter, serta ruang penyimpanan barangan.

Sistem audio pula adalah daripada Mark Levinson yang terdiri daripada 19 unti pembesar suara QUL Reference Surround Sound System yang menawarkan kualiti bunyi yang memberangsangkan.

Sementara ruang pemandu pula menempatkan skrin sentuh bersaiz 12.3 inci yang menyokong sambungan peranti pintar Apple CarPlay dan Android Auto, serta slot pengecasan nirwayar yang terletak di hadapan konsol tengah.

Untuk memastikan keselesaan yang lebih baik, Lexus LM 350 dilengkapi sistem pendingin hawa tiga zon yang turut hadir dengan ciri seperti Pollen Filter dan Nanoe Negative Ion Generator yang mampu menepis kehadiran virus ke dalam ruang kabin.

 


Lexus LM 350 dikuasakan oleh nadi 2GR-FKS 3.5 liter bentangan V6 yang menghasilkan 296 hp dan 361 Nm daya kilas, serta sistem transmisi Direct Shift CVT lapan nisbah kelajuan yang menawarkan kadar penjimatan bahan api dan prestasi pemanduan yang lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, casis LM 350 juga turut diberikan penumpuan di mana sistem suspensi MacPherson dan Double Wishbone telah dioptimasikan geometrinya, serta didatangkan dengan teknologi peredam hentakan jenis swing valve yang pertama kali diperkenalkan pada model ES pada tahun 2019.

Penggunaan teknologi ini di dalam penyerap hentakan dikatakan mampu untuk menguruskan aliran pelincir dengan lebih jitu sebagai respons terhadap permukaan jalan yang tidak rata.

 


Aspek keselamatan Lexus LM 350 terdiri daripada Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri seperti sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi berhenti & mula, Bantuan Pengesanan Laluan (LTA) dan Amaran Keluar Laluan (LDA), serta Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS).

Selain daripada itu, Lexus LM 350 turut hadir dengan ciri seperti Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TC), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), Panoramic View Monitor (PVM) dan tidak ketinggalan tujuh beg udara SRS dan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.

Lexus LM 350 dibawa masuk sebagai unit CBU sepenuhnya dari kilang Jepun, ditawarkan dalam dua warna iaitu White Pearl Crystal Shine atau Black, serta kemasan warna dalaman putih atau hitam dan kemasan unik Gin-Sui-Boku (dakwat perak) yang diinspirasikan daripada seni cat Jepun.

 


Harga jualan bermula dari RM1,148,000 atas jalan tanpa insurans, dan kumpulan pemilik pertama Lexus LM 350 bakal menerima unit masing-masing menjelang akhir bulan Julai ini.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Seperti yang anda jangkakan, Lexus LM 350 menampilkan semangat hospitaliti Omotenashi Lexus yang…
Berita Domestik
Menurut laporan daripada rakan media Paultan, mereka telah berjaya mendapatkan informasi daripada…
Model Terbaharu
Akhirnya, minivan yang dinanti-nantikan telah pun tiba apabila Lexus selesai melancarkan model…