Lexus LFA Nurburgring Edition untuk dijual - lengkap dengan tandatangan Akio Toyoda! (dari RM2.4 juta)

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan produksi yang terhad kepada 500 buah sahaja, Lexus LFA merupakan antara supercar yang jarang sekali untuk anda lihat di jalan raya, lebih-lebih lagi versi Nurburgring Edition yang hanya diproduksikan sebanyak 50 unit. 

Walaupun Lexus LFA sudah lama dihentikan produksinya, namun tahap 'rare' yang dibawakan oleh supercar Toyota itu sememangnya menarik perhatian, apatah lagi jika ia ditakdirkan untuk dijual. 
 


Jika anda perhatikan unit Lexus LFA yang kami paparkan ini, ia merupakan Lexus LFA Nurburgring Edition yang datang dari Jerman, dan dikatakan ia adalah satu-satunya LFA yang mempunyai tandatangan Akio Toyoda di atas hud enjin. 

Abaikan sahaja pelekat yang menghiasi hud enjin tersebut, Lexus LFA ini sebenarnya masih lagi 'dara', dengan jarak perbatuan yang dicatatkan hanyalah sekitar 1,000 km!
 


Segala apa yang didatangkan daripada kilang Motomachi, Jepun masih lagi kekal tidak berubah dan tanpa sebarang kecacatan yang wujud pada cat jingga, kemasan gentian karbon dan Alcantara di bahagian dalaman.

Lexus LFA standard mempunyai rear wing tersembunyi yang akan diaktifkan pada kelajuan tertentu, namun bagi LFA Nurburgring Edition, anda bakal mendapat sebuah sayap belakang kekal yang dibina daripada gentian karbon.  
 


Untuk LFA versi Nurburgring, Lexus telah menala kembali enjin 1LR-GUE bentangan V10 tersebut supaya ia menghamburkan 10 kuasa kuda lebih daripada kuasa standard LFA (563 kuasa kuda), selain transmisi yang telah dikalibrasi semula, sistem suspensi yang lebih rendah dan tayar yang lebih mencengkam. 

Jika LFA 'standard' dijual pada harga $375,000 (RM1.6 juta), Lexus LFA Nurburgring Edition pula anda perlu menambah sebanyak $70,000 lagi kepada harga standard. 

Untuk pembeli Lexus LFA Nurburgring yang terdahulu, Lexus turut memberikan pakej istimewa merangkumi sesi latihan di Nordschleife, tunjuk ajar oleh ketua pelatih Nurburgring, peluang bermalam di Lindner Congress and Motorsport Hotel Nurburgring, jaket Nurburgring serta pass masuk selama setahun ke Litar Neraka Hijau tersebut. 
 


Harus anda tahu, Lexus LFA Nurburgring Edition mencatatkan rekod pusingan 7 minit 14.64 saat yang dipandu oleh Akira Iida menjadikannya antara kereta produksi terpantas, selain mencatatkan kelajuan tertinggi 292 km per jam pada satu seksyen jalan lurus di litar Nurburgring. 

 

Rekod ini berjaya mengalahkan pesaing-pesaing rapat seperti Dodge Viper ACR dan Porsche 911 GT2 RS.
 


Berbalik kepada LFA tadi, penjualannya dikendalikan oleh Haemmerle dengan harga yang bermula dari $580 ribu (RM2.4 juta). 

Jika anda mahukan sebuah Lexus LFA, anda harus tahu penyelenggaraan sebuah kereta sports edisi terhad ini bukanlah semudah anda melakukan servis hatchback jimat minyak keluaran Rawang, walaupun kedua-dua itu lahir dari sebuah syarikat yang sama. 

Baca: Panduan Servis Lexus LFA

Berita Berkenaan

Berita Global
Update 1.40 "Spec II" Gran Turismo 7 ini membawakan tujuh model kereta baharu ke dalam permainan,…
Berita Global
Berdasarkan gambar yang sengaja digelapkan itu, terdapat tujuh buah kereta baharu yang bakal…
Berita Global
Pada tahun 2016, bos Lexus Eropah mengesahkan tiada sebarang pengganti untuk model tersebut yang…