Lexus LF-Z Electrified Concept perlihat hala tuju rekaan Lexus masa hadapan

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada Lexus LF-Z Electrified Concept, di mana model ini membawakan hala tuju rekaan, konsep teknologi serta prestasi yang bakal ditampilkan pada model-model Lexus menjelang tahun 2025.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lexus LF-Z dibangunkan menggunakan platform kenderaan elektrik bateri yang menampilkan sistem pacuan semua roda DIRECT4 - terdiri daripada motor elektrik yang mengutamakan kadar tindak balas segera untuk mengawal setiap roda.

Menurut Lexus, sistem ini boleh diubahsuai untuk menjadi sebuah kenderaan pacuan roda hadapan, belakang, atau konfigurasi semua roda.

 


Aspek kawalan stereng pula menggunakan sistem steer-by-wire, ini bermakna tiada sebarang hubungan mekanikal antara roda stereng (setengah) dengan roda.

Dari segi luaran, Lexus LF-Z Electrified Concept membawakan rekaan seakan crossover coupe, dengan bahagian hadapan menampilkan evolusi gril spindle Lexus yang tertutup, memandangkan tiada sebarang enjin pembakaran dalaman dimuatkan pada model ini.

Selain daripada itu, ia turut menampilkan jarak overhang depan dan belakang yang pendek dan rekaan roda yang agak besar, sementara ruang belakang pula terdapat unit lampu LED yang kompleks serta lampu brek ketiga yang diposisikan menegak pada bampar belakang.

 


Ruang kabin pula direka dengan menggunakan konsep 'Tazuna' yang mengambil inspirasi daripada hubungan antara kuda dan penunggangnya (sama macam Jinba Ittai Mazda?), di mana rekaan papan pemuka berorientasikan pemandu, rekaan stereng stail yoke (ingat Tesla Model S?) dan sistem paparan head-up yang kompleks.

Selain daripada itu, tiada sebarang informasi lanjut berhubung angka output yang bakal menggerakkan Lexus LF-Z Electrified Concept ini.

 


Lexus juga turut mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan 20 buah kenderaan baharu terdiri daripada 10 buah kenderaan elektrik bateri, plug-in hybrid, dan hibrid biasa, serta kenderaan sedia ada yang dinaik taraf menjelang tahun 2025.