Lexus LC500 Convertible rasmi dilancarkan - dari RM1.35 juta

oleh Mohamad Hanif|
Melengkapkan lagi penawaran Lexus LC500 di Malaysia adalah kehadiran model Convertible yang baharu sahaja dilancarkan secara rasmi oleh Lexus Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disifatkan sebagai definisi seksi baharu untuk jalanan, Lexus LC500 Convertible menampilkan rekaan bumbung terbuka yang membolehkan jurutera Lexus memperkemaskan lagi penampilan kemewahan yang ada pada model ini ke satu tahap serba baharu.

 


Dari segi penampilan, ia tidak banyak membawakan perbezaan berbanding LC500 standard, seperti contoh lampu projektor LED tiga tahap, rekaan grill hadapan Spindle, serta lampu kombinasi LED belakang dan lampu brek ketiga yang disepadukan pada hujung penutup ruang barangan.

Keempat-empat arca roda dihiasi dengan rekaan rim bersaiz 21 inci dengan kemasan akhir dua tona.

 


Sebut pasal bumbung convertible, Lexus telah melengkapkan model LC500 dengan mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik yang boleh dioperasikan dalam masa 15 saat, dan dinaikkan semula dalam masa 16 saat di bawah kelajuan 50 km/j.

Bumbung tersebut menggunakan bahan lembut empat lapisan (tiga lapis fabrik dan bahan NVH), serta disekalikan dengan penutup khas bagi melindungi ruang simpanan bumbung setelah dilipat.

Disebabkan struktur bumbung dan mekanisme yang lebih ringan, LC 500 Convertible hanya memiliki kelebihan berat 90 kg berbanding versi coupe, sementara ruang barangan pula berkapasiti 149 liter.

 


Untuk memastikan ruang kabin kekal menikmati suasana yang senyap, Lexus telah menghasilkan bentuk unik pada beltline, reka bentuk bahagian belakang yang mampu menghalang angin daripada masuk, serta penampan angin lutsinar yang diletakkan di belakang tempat duduk.

Ciri tersebut membantu menjadikan kabin lebih senyap pada kelajuan sehingga 60 km/j.

Kelengkapan lain termasuklah roda stereng balutan kulit, tombol penukaran gear rekaan Takumi, skrin multimedia 10.3 inci dengan paparan terpisah untuk capaian audio atau kawalan pendingin hawa, sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

 


Selain daripada itu, dihadapan pemandu tersedia skrin paparan Digital Combination Meter bersaiz lapan inci dibantu dengan paparan head-up.

Untuk peminat dan penggemar audio, Lexus LC 500 Convertible dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson Reference Surround Sound System.

Apa yang menariknya, sistem akustiknya akan diselaraskan secara automatik berdasarkan bunyi persekitaran sama ada bumbung terbuka atau tertutup, membolehkan penumpang menikmati pengalaman bunyi yang hebat.

 


Prestasi Lexus LC 500 ini disumbangkan oleh penggunaan nadi 2UR-GSE V8 5.0 liter menghasilkan 470 kuasa kuda dan 540 Nm yang dipadankan dengan transmisi Direct-Shift 10 nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam tempoh 4.9 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j.

Walaupun berkuasa, Lexus LC 500 Convertible masih mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 12.7 liter untuk setiap 100 km, terima kasih kepada teknologi Dual Variable Valve Timing-intelligent (DVVT-i) serta ciri Artificial Intelligence Shift Control.

Ciri pintar tersebut mempunyai keupayaan untuk meramal gaya pemandu dan memilih gear yang sepatutnya sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

 


LC 500 Convertible turut didatangkan dengan ciri keselamatan termaju Lexus Safety System+ (LSS+) seperti:

  • sistem pra-pelanggaran
  • amaran penukaran lorong
  • bantuan pengekalan lorong
  • kawalan pelayaran radar dinamik
  • bantuan suluhan tinggi automatik
  • sistem pemantauan titik buta
  • amaran lintasan trafik  belakang

Sebagai sebuah model kereta dengan bumbung yang boleh dibuka, ia turut hadir dengan ciri keselamatan tambahan iaitu palang olengan aktif yang tersorok kemas dari pandangan umum, dan akan diaktifkan saat kereta terbalik bagi melindungi penumpang.

Harga jualan untuk Lexus LC 500 Convertible ini bermula dari RM1,350,000 atas jalan tanpa insurans, serta lengkap dengan jaminan dan servis percuma selama lima tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana terdahulu.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Dari segi luaran, Lexus RX 500h F Sport ini membawakan kit badan yang jauh lebih sporti, dengan…
Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,875 unit terdiri daripada kenderaan berjenama Toyota, manakala…
Berita Domestik
Dikendalikan oleh PCM Klang Motor Sdn Bhd, Pusat Pameran Lexus Klang ini telah pun beroperasi sejak…