Lexus LC Aviation - 70 unit sahaja untuk pasaran Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu kereta Lexus yang menarik perhatian adalah Lexus LC di mana rakyat Jepun kini mendapat sebuah lagi varian baharu yang dibina mengambil inspirasi daripada industri aviasi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lexus LC Aviation (tengok nama pun sudah tahu) ditawarkan dalam varian LC 500 dan LC 500h, dan boleh dibezakan daripada model standard disebabkan kehadiran spoiler belakang daripada plastik diperkukuh gentian karbon.

Menurut Lexus, spoiler ini bukanlah hiasan semata-mata, memandangkan ia dibina oleh 'takumi' yang bertanggungjawab terhadap projek Lexus LFA, serta menerima input daripada juruterbang aerobatik Yoshihide Muroya yang merupakan pemenang 2017 Red Bull Air Race Championship!

 


Struktur winglet pada komponen tersebut adalah berfungsi dan mampu beroperasi bagi meningkatkan respons stereng, keselesaan dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Selain daripada spoiler baharu itu, Lexus LC Aviation ini menerima roda aloi hitam bersaiz 21 inci, dengan gril hadapan dan liang sisi dihitamkan, dan unit lampu hadapan dan belakang diberikan lapisan tinta.

 


Ruang kabin LC Aviation menampilkan upholsteri Aviation Black, roda stereng Alcantara, tombol gear Alcantara, serta trim pintu daripada bahan yang sama.

Tiada sebarang perubahan mekanikal ditawarkan, ini bermakna LC 500 masih lagi dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter yang menghasilkan 471 hp, sementara model LC 500h pula mendapat enjin V6 3.5 liter dan dua motor elektrik yang menghasilkan 354 hp.

 


Sebanyak 70 unit Lexus LC Aviation akan dibina untuk pasaran Jepun sahaja.