Lexus IS 2021 rasmi dilancarkan - platform lama, namun tawar pemanduan yang lebih sporty

oleh Mohamad Hanif|
Ini bukanlah generasi terbaharu yang dilancarkan oleh Lexus, akan tetapi lebih bersifat model facelift terhadap generasi ketiga sedan kompak eksekutif Lexus IS semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2013.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Walaupun tidak menggunakan platform serba baharu, Lexus IS ternyata membesar dari segi dimensi di mana ia lebih panjang 30 mm, lebih lebar 30 mm dan tinggi 5 mm berbanding model terdahulu, dengan jarak antara roda masih kekal pada 2,800 mm.

Selain itu, Lexus banyak mendatangkan kemaskini terhadap reka bentuk luaran sedan segmen segmen D ini.

 


Seperti contoh, gril hadapan spindle dengan elemen struktur polyhedral tiga dimensi yang diapit dengan lampu utama serba baharu yang kini mengintegrasikan lampu nyalaan siang LED yang tajam.

Bahagian sisi turut menampilkan pintu dan tingkap dengan rekaan yang lebih malar segar, serta penampilan skirt sisi dan rim aloi bersaiz 18 inci.

Di bahagian belakang turut diserikan dengan rekaan bumper serba baharu, serta unit lampu utama yang kini disambungkan dengan kehadiran jaluran LED yang tipis melintangi bahagian tersebut.

 


Perubahan dramatik pada bahagian luaran nampaknya diikuti dengan reka bentuk bahagian kabin di mana terdapat papan pemuka yang telah direka semula dengan kehadiran corong udara berbentuk bulat, serta unit infotainmen yang diposisikan semula supaya mudah diakses oleh pemandu.

Sistem infotainmen itu tadi menggunakan skrin baharu bersaiz 10.3 inci yang didatangkan dengan integrasi Android Auto, Apple CarPlay dan Amazon Alexa, dipadankan dengan sistem audio Mark Levinson 1,800 watt yang terdiri daripada 17 unit pembesar suara.

Selain daripada itu, terdapat sistem kawalan iklim dua zon automatik, sistem bantuan mula tanpa kunci SmartAccess serta tempat duduk hadapan berkuasa elektrik itu pula dibaluti dengan upholsteri NuLuxe.

 


Pilihan enjin untuk model IS 300 pula terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang menghasilkan 241 hp dan 349 Nm, sistem pacuan roda belakang, serta transmisi automatik lapan kelajuan, sementara model pacuan semua roda pula didatangkan dengan enjin V6 3.5 liter (260 hp/320 Nm) dan gandingan transmisi automatik enam kelajuan sahaja.

Sementara model IS 350 pula dilengkapi nadi 3.5 liter V6 dengan talaan yang lebih berkuasa, iaitu 311 hp dan 379 Nm yang memacu roda belakang atau semua roda, masing-masing dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan atau automatik enam kelajuan.

Versi pacuan roda belakang paling berkuasa ini mampu memecut sepantas 5.6 saat dari 0-96 km/j, manakala varian pacuan semua roda pula sedikit perlahan, 5.7 saat.

 


Antara pembaharuan yang dibawakan termasuklah aspek pemanduan di mana Lexus IS kini menawarkan dinamik pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Di Pusat Teknikal Toyota yang terletak di Shimoyama, Lexus IS merupakan kereta Lexus pertama yang diuji dan dibangunkan untuk menampilkan ciri "Lexus Driving Signature".

Para jurutera telah menumpukan perhatian terhadap kadar ketegaran casis dengan memperkuatkan sokongan sisi terhadap bahagian radiator, side-member hadapan, dan struktur pada tiang C bagi mengurangkan kadar kebisingan dan gegaran, selain meningkatkan keselesaan dan prestasi pemanduan.

Sistem suspensi juga telah ditala semula, di mana lengan A diperbuat daripada aluminium forged yang lebih ringan 18 peratus dan diet pengurangan berat badan turut diaplikasikan pada penggunaan bar pengimbang dan spring coil yang lebih ringan 17 peratus dan 20 peratus berbanding komponen terdahulu.

Selain daripada itu, Lexus IS turut menerima penyerap hentak jenis swing-valve dengan injap beraliran tinggi yang mampu memberikan respon terhadap perubahan jalan yang minimum, selain penambahan bound stopper untuk meningkatkan lagi tahap keselesaan ketika pemanduan.

 


Aspek keselamatan Lexus IS dilengkapkan dengan ciri Lexus Safety System+ yang telah dinaiktaraf, merangkumi fungsi bantuan pengesan laluan, ciri kamera dan radar bergelombang milimeter yang mampu mengesan penunggang basikal, pejalan kaki dan kenderaan lain.

Ciri keselamatan lain termasuklah sistem pra-pelanggaran, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, bantuan stereng kecemasan, kawalan pelayaran radar dinamik untuk semua kelajuan, bantuan suluhan tinggi pintar, bantuan papan tanda, amaran lintasan trafik belakang dan sistem pemantauan titik buta.

 


Dalam pada itu, pihak Lexus tidak memberikan sebarang petanda kehadiran model Lexus IS F yang lebih berkuasa, namun mendatangkan varian IS F Sport yang menampilkan pakej stail yang lebih unik.

Dimulakan di bahagian luaran, Lexus IS F Sport didatangkan dengan bumper yang lebih sporti, gril unik dan spoiler belakang, sistem ekzos sports, diffuser serta kehadiran rim aloi bersaiz 19 inci.

Para pembeli Lexus IS F Sport boleh menempah ciri opsyen pakej Dynamic Handling yang merangkumi sistem suspensi berbilang adaptif, rim BBS forged bersaiz 19 inci dengan kemasan matte black, pelindung cermin sisi gentian karbon dan spoiler gentian karbon.

 


Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk sport dengan ciri ventilasi dan alat pemanas terbina, roda stereng dengan sistem pemanas terbina, pedal aloi, scuff plate keluli tahan karat, serta rekaan khas pada panel pintu.

Lexus IS 2021 akan mula dijual di Amerika Utara bermula musim luruh ini sebelum boleh didapati di 40 buah negara termasuklah Asia dan Jepun.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menerusi rakaman video, Daniel Bassett dikesan memandu sebuah Lexus IS generasi pertama sebelum…
Berita Global
Mengikut spesifikasi, sedan terkecil Lexus itu dikuasakan oleh nadi bentangan V8 5.0 liter yang…
Berita Global
Lexus juga terkesan dengan perubahan trend ini, dan memutuskan untuk menghentikan penjualan tiga…