Lexus GS350 F SPORT Black Line, sedan premium dari Jepun

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lexus sememangnya dikeluarkan untuk menyaingi jenama premium seperti Mercedes-Benz, BMW dan Audi. Setiap satu model ada saingan seperti GS lawannya adalah E-Class, 5 Series dan A6.

Satu perkara yang membuat Lexus memiliki kelebihan ialah reputasinya sebagai kenderaan yang boleh diharap dan kerap memenangi anugerah berkaitan kualiti. 

Dengan itu, tidak bermakna Lexus menawarkan produk membosankan. Sama seperti AMG atau M Sport, Lexus mempunyai siri F SPORT.

Terbaru Lexus memperkenalkan GS 350 F SPORT Black Line Special Edition di Amerika Syarikat yang dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lexus GS350 F SPORT Black Line

 

Keistimewaan model ini ialah pada roda signatur F SPORT 19 inci warna hitam kilat dan angkup brek warna oren bagi varian RWD.

Ciri lain pada pelindung cermin sisi, spoiler belakang berwarna hitam dan riasan gril warna hitam kilat.

Berbanding GS yang ditawarkan dalam sepuluh warna, GS Black hanya dua pilihan iaitu Ultra White atau Caviar.

GS Black Line tidak hanya istimewa pada estetika, ia membawa elemen 350 F Sport dengan penambahbaikan casis talaan litar yang memberikan karakter sporti pada sedan eksekutif premium ini.

 

Lexus GS350 F SPORT Black Line

 

Bahagian dalam pula mempunyai riasan warna merah pada panel pintu, stereng dan konsol tengah. Kerusi kulit mempunyai sulaman kontra berwarna Rioja Red.

Turut dilengkapi ialah hiasan gentian karbon dengan sulaman merah pada papan pemuka, kerusi dan konsol tengah.

Kemasan Alcantara dibuat pada panel instrumen, konsol dan perehat lengan bagi mengimbangi karakter sporti dan kemewahan Lexus ini.

Satu lagi keistimewaan dan pertama untuk siri Black Line ialah set bagasi dari Zero Halliburton.

 

Lexus GS350 F SPORT Black Line

 

Set eksklusif tersebut mempunyai dua jenis beg iaitu iaitu Continental Carry-on Edge Lightweight saiz 22 inci dan beg Medium Travel Case 26 inci.

Koleksi Edge Lightweight itu didatangkan khas dengan logo Zero Halliburton for Lexus dan pelbagai identiti lain.

Menggerakkan Lexus GS 350 F SPORT Black Line Special Edition ialah enjin 3.5 liter V6 2GR-FKS berkuasa 311 PS pada 6,400 rpm dan tork 380 Nm pada 4,800 rpm.

Model pacuan RWD dipadan bersama transmisi lapan kelajuan automatik manakala versi AWD dengan enam kelajuan automatik.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Kredit foto: Lexus

 

Lexus GS350 F SPORT Black Line