Dalam hantaran tersebut, pelumba Formula 1 itu mengakui situasi di lapangan boleh membuatkan seseorang rasa “hopeless” dan seolah-olah tiada apa yang boleh dilakukan. Namun, beliau berkata lawatan itu tidak membuatkan dia mahu menjauh, sebaliknya membuka mata tentang kekuatan sebenar yang sedang berlaku.


Menurut Hamilton, perkara yang paling “melekat” di fikirannya ialah semangat daya tahan dan kemanusiaan yang ditunjukkan oleh keluarga-keluarga yang masih berjuang untuk kelangsungan hidup, selain doktor-doktor yang bekerja tanpa henti untuk menyelamatkan nyawa.
Beliau turut memuji pasukan bantuan kemanusiaan yang terlibat, termasuk British Red Cross, Jordan Red Crescent, Palestine Red Crescent dan pertubuhan lain yang berusaha sedaya upaya menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Bantuan itu boleh dibuat, dan penderitaan ini boleh ditamatkan, tetapi skala bantuan yang sedang sampai ke Gaza masih jauh daripada mencukupi,” tegas Hamilton.
Dalam satu lagi mesej yang dikongsikan, Hamilton menyeru agar organisasi kemanusiaan diberi akses untuk sampai kepada mereka yang memerlukan, termasuk bekalan perubatan dan keperluan asas. Beliau juga mengajak orang ramai menyumbang kepada British Red Cross atau mana-mana badan amal yang dipercayai yang sedang berusaha menyalurkan bantuan.


Hamilton menutup seruannya dengan satu mesej jelas: jangan berhenti bercakap tentang isu ini.
“Kita mesti terus bersuara dan beri perhatian. Kita mesti terus menegakkan apa yang betul,” katanya.
Lawatan dan kenyataan Hamilton ini hadir ketika situasi kemanusiaan di Gaza terus menjadi perhatian global, dengan pelbagai pihak mendesak akses bantuan yang lebih luas dan konsisten untuk rakyat yang terkesan.
Sumber: Instagram lewishamilton