Lesap RM39,000 untuk Toyota Alphard yang tak wujud!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Hasrat seorang wanita untuk memiliki sebuah kenderaan mewah, lebur apabila diperdaya sehingga kerugian RM39,000.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata pada 28 Mac lalu, mangsa berumur 20-an melayari laman sosial dan tertarik dengan satu 'page' menawarkan kenderaan terpakai dari Singapura.

 

"Mangsa tertarik untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard 3.5 secara ansuran bulanan.

 

"Mangsa kemudian berhubung dengan suspek yang menyamar sebagai penjual, melalui aplikasi Whatsapp' sebelum diminta membuat bayaran berjumlah kira-kira RM17,000 kononnya untuk tujuan insurans, cukai jalan dan urusan JPJ," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beberapa hari kemudian, Ahmad Azizul berkata, mangsa membuat beberapa transaksi bayaran ke satu akaun bank tempatan dikatakan milik pekerja suspek.

 

Pada 2 April lalu, katanya, mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang wanita mendakwa sebagai pekerja suspek.

 

Beliau berkata, mangsa diminta membuat bayaran RM7,000 ke akaun bank tempatan yang sama kononnya bagi tujuan pendaftaran dan kos penghantaran kenderaan terbabit.

 

"Pada petang sama, wanita itu meminta mangsa membuat bayaran deposit RM15,000 ke satu akaun bank tempatan yang lain milik individu berbeza. Mangsa terus membuat bayaran itu melalui tiga transaksi pindahan wang.

 

"Mangsa berasa tertipu apabila suspek wanita terbabit mendakwa tiada menerima wang deposit berkenaan dan meminta mangsa membuat bayaran RM15,000 itu secara sekali gus dalam satu transaksi saja. Secara keseluruhan, mangsa mengalami kerugian RM39,000," katanya.

 

Susulan itu, beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Sabtu lalu.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  “Hati-hati, sebenarnya banyak ‘page-page’ Facebook palsu menyiarkan iklan-iklan ini. Bila kita…
Berita Domestik
  Beliau berkata, mangsa beralamat di Kampung Pintu Padang, Raub begitu tertarik dan menghantar…
Berita Domestik
  "Mangsa pergi ke pautan di FB yang menawarkan kenderaan berkenaan sebelum berurusan dengan…