Lengan prostetik daripada bongkah Lego

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk tampil dengan projek bina sendiri DIY menggunakan bongkah Lego sudah banyak tersiar di dalam Internet yang serba laju di Malaysia ini, namun remaja yang berasal daripada Sepanyol ini hadir dengan sesuatu yang berbeza. 

Dengan impian untuk membantu mereka yang lebih memerlukan, David Aguilar yang dilahirkan tanpa lengan kanan akibat kondisi genetik yang terhad itu kini sudah pun membina model lengan prostetik yang keempat menggunakan set bongkah Lego. 
 


Pelajar di Universitat International de Catalunya, Sepanyol itu memulakan projek membina alat bantuan tersebut sejak berusia 18 tahun, berbekalkan set Lego yang dihadiahkan daripada rakan-rakannya.

Menerusi laman web sosial YouTube, beliau menggunakan nama samaran HandSolo kerap memaparkan video perkembangan terkini projek tangan palsu tersebut yang sudah pun memasuki model keempat.

David Aguilar yang amat meminati watak hero Tony Stark daripada komik Marvel itu menamakan hasil projek tangan prostetik itu dengan nama tribut kepada Iron Man seperti MK-I, MK-II, dan MK-III.
 


Impian beliau selepas menamatkan pengajian cukup besar, mahu menolong lebih ramai orang yang cacat dengan set prostetik yang lebih murah dan berpatutan. 

"Saya mahu memberikan mereka lengan/kaki prostetik supaya mereka lebih berasa sebagai seorang manusia normal," ujar David kepada Reuters. 

Lengan prostetik daripada binaan Lego ini nampak tidak kukuh jika ia digunakan untuk aktiviti lasak, namun setidak-tidaknya ia memberikan idea kepada David dalam membangunkan unit seterusnya yang benar-benar berfungsi. 
 


Berdasarkan pencarian, kos untuk memiliki sebuah lengan atau kaki palsu bermula dari sekitar RM1,500 sehingga mencecah RM60,000 bergantung kepada model yang dibeli. 

Bergantung kepada cara penggunaan, tiada jaminan ia akan kekal sehingga ke akhir hayat. 

Untuk hadir dengan sebuah produk yang murah dan tahan lama mungkin agak mustahil, namun dengan cita-cita yang cukup besar oleh David Aguilar, segala yang mustahil itu bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti.