Lembu, kerbau merayau di laluan Gua Musang-Kuala Krai akan ditangkap

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menasihatkan pemilik lembu dan kerbau agar tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di laluan utama Gua Musang-Kuala Krai sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.


Penolong Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Wan Mohd Afiq Wan Alias berkata pemilik haiwan perlu lebih peka dan memastikan haiwan tersebut tidak mengganggu lalu lintas apabila kenderaan dijangka bertambah pada musim perayaan itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"MDGM mengambil berat tentang masalah haiwan ternakan berkeliaran di kawasan kampung atau bandar, jadi pemilik diingatkan agar bersikap lebih bertanggungjawab menjaga haiwan ternakan dan elakkan dari mengundang risiko kemalangan ketika musim perayaan.

 

"Oleh itu, Jabatan Penguatkuasaan MDGM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar telah melancarkan Operasi Bersepadu Haiwan Rayau sejak Rabu bagi memburu haiwan ternakan yang dilepaskan berkeliaran sepanjang jalan utama di Gua Musang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Mengulas lanjut, Wan Mohd Afiq berkata operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berkala di kawasan hotspot yang dikenal pasti kerap terjadi kemalangan disebabkan haiwan rayau.

 

"Antara kawasan operasi yang sering menjadi kawasan lembu rayau ialah di Kampung Batu 6, Gua Sejuk, Kampung Renok, Felda Chiku dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh.

 

"Tindakan boleh dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau (Majlis Daerah Gua Musang) (Pindaan) 2012," katanya menambah pemilik haiwan boleh hadir ke pejabat MDGM untuk proses penebusan dalam masa tujuh hari dari tarikh penangkapan sebelum tindakan pelupusan diambil MDGM.

 

 

-- BERNAMA