LELAKI VIRAL "FAST & FURIOUS" DENGAN POLIS DIDAKWA

oleh Penyumbang Rencana 2|
GARA-GARA memandu secara melulu, menghalang tugas anggota polis dan membahayakan orang awam Khamis lalu, seorang peniaga sate menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar hari ini.

Tertuduh, Rohaizad Lazim,  37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut pertuduhan, Rohaizad dengan niat menakutkan anggota polis bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) dengan melanggar kenderaan polis dari arah belakang. 

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Taman Chandan Puteri, Kuala Kangsar pada 12 November pukul 7 petang. 

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh yang memandu kereta Proton Iswara turut menghadapi pendakwaan mendatangkan bahaya kepada orang awam di lokasi, tarikh dan masa yang sama. 

Untuk perbuatan itu, Rohaizad didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15, 000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil dan tertuduh diwakili peguam P. Ravee. 

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula 12 Januari depan. 

Jumaat lalu, Careta melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas memandu secara melulu hingga mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain dalam cubaan melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuala Kangsar - Manong. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob, dalam cubaan meloloskan diri, suspek turut bertindak melanggar bahagian belakang satu daripada kereta peronda polis.

Suspek yang memandu tanpa lesen serta cukai jalan tamat turut merempuh sebuah motosikal menyebabkan penunggang wanita patah pergelangan tangan. 

 

 

Artikel oleh: Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar