Lelaki pukul kepala pemandu wanita dipenjara tujuh hari

oleh Hamimah Hamid|
GARA-GARA memukul dan mengugut 'pecah muka kau sat lagi', lelaki yang tular videonya memukul kepala seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Hukuman tersebut dibuat Majistret Siti Hanum Mohamad Sah selepas tertuduh Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Siti Hanum dalam penghakiman beliau turut menasihatkan tertuduh supaya berfikir sebelum bertindak kerana ia akan memberi kesan buruk kepada diri serta masyarakat. 

 

Mengikut pertuduhan, penyelia kilang terbabit didakwa memukul Amiera Atiqah Shahrizan, 24 tahun yang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah kira-kira pukul 5.33 petang pada 5 Jun lalu. 

 

Perbuatan tersebut dilakukan di Lata Iskandar di KM 22 Jalan Tapah - Cameron Highlands. 

 

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut  Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara setahun atau denda maksimum RM2, 000 atau kedua-duanya sekali. 

 

Tertuduh turut dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana telah menakutkan pemandu wanita terbabit dan  dibawah kesalahan itu boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. 

 

Baru-baru ini tular video berdurasi 59 saat lelaki terbabit memukul kepala seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun. 

 

Wanita terbabit hendak memotong sebuah kereta yang berada di hadapannya namun tidak dapat memotong. 

 

Tindakan tersebut menyebabkan pemandu lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan pusat peranginan Lata Iskandar. 

 

Lelaki terbabit kemudian telah turun dari kenderaannya dan bertindak mengetuk cermin kereta, memarahi dan memukul kepala pengadu wanita tersebut serta mengeluarkan kata-kata ugutan.