Lelaki ini terpaksa jual Toyota Supra 1989 demi kesihatan kucingnya...

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan satu kisah yang cukup membuatkan kami berasa sebak di meja pejabat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Seorang pemilik Toyota Supra 1989, Leiz terpaksa menjual kereta sports yang dimiliknya sejak tahun 1994 itu disebabkan terpaksa menampung kos rawatan kucingnya (bernama Silk) akibat penyakit feline infectious peritonitis (FIP).

Sebagai seorang pencinta kucing sejati, Leiz membuat keputusan untuk melelong Toyota Supra 1989-nya itu menerusi laman Yahoo Auction dengan harga ¥2.7 juta (RM102,844) - kos yang sama diperlukan untuk merawat kucingnya.

 


Toyota Supra 1989 bukanlah susah untuk dicari terutama di tempat kelahiran asal, namun Supra milik Leiz itu merupakan Supra pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dibeli daripada rakannya di California, serta mempunyai bumbung suria kustom ACS.

Mujur seorang warga Osaka, Masakoba-san tampil menyelamatkan keadaan, di mana lelaki itu menawarkan pembelian segera pada harga yang dinyatakan oleh Leiz.

Ketika ditanya, Masakoba menjawab, "saya juga turut memiliki kucing di rumah."

Walaupun Leiz menawarkan diskaun disebabkan beberapa kecacatan kecil, namun Masakoba enggan menerimanya, malah lelaki Jepun itu sanggup menambah ¥100,000 (RM3,809) untuk menampung kos rawatan Silk.

 


Cerita tersebut tidak tamat begitu sahaja, malah Masakoba sanggup menghentikan sementara projek restorasi Corolla Sprinter KE10, dan mahu menjadikan Supra 1989 itu kembali bersinar seperti baru mula keluar kilang.

Segala kos restorasi ditanggung sepenuhnya oleh Masakoba, malah beliau mahukan Leiz membeli kembali Supra 1989 itu pada harga yang sama dibelinya sebelum ini dalam bentuk pinjaman tanpa faedah!

"Rumah saya tidak jauh daripada rumah awak, jadi sekiranya rindu, awak boleh datang ke rumah saya dan pandu Supra ini," ujar Masakoba kepada Leiz lagi.

Menurut kemaskini daripada blog Leiz, Silk masih lagi menghadapi isu kesihatan, namun kedua-dua Silk dan Supra kini mendapat 'nafas' baharu, terima kasih kepada insan yang baik hati tersebut.

Sumber: Japanese Nostalgic Car