Seorang peminat tegar Lego, David Gustafsson kini merealisasikan meme tersebut dengan menghasilkan sebuah wagon Volvo V70 skala 1:1 yang terdiri daripada 400,000 kepingan bongkah Lego.
Menurut laporan, 400,000 kepingan Lego itu berjaya dimenangi oleh beliau dalam satu pertandingan Lego Masters yang diadakan beberapa tahun lepas, sebelum digunakan untuk pembinaan wagon V70.
Disebalik binaan Volvo V70 Lego itu, ia sebenarnya diperkukuh dengan kerangka logam, diikuti dengan padanan rim dan tayar yang sebenar.
Selebihnya - termasuklah tempat duduk, papan pemuka, roda stereng dan kluster instrumen - diperbuat daripada bongkah Lego.
Menariknya, wagon Lego ini sebenarnya boleh dipandu keluar, kerana ia sebenarnya adalah sebuah EV yang mempunyai motor elektrik, dan roda stereng yang berfungsi sepenuhnya.
Bahkan unit lampu utama juga boleh bergerak mengikut arah putaran roda stereng!
Laman Instagram Brickscale melaporkan V70 Lego ini telah dipamerkan di Ecar Expo, Gothenburg pada Disember lepas di mana para pengunjung boleh menyaksikan sendiri bagaimana wagon ini dipasang.
Kereta Lego ini juga dijangka akan membuat kemunculan umum di beberapa lokasi di Sweden sepanjang bulan April nanti.
Sumber: Instagram Brickscale