"Siasatan mendapati penjaga valet meletakkan kereta berkenaan di kawasan parkir valet sebelum mengalihkan kereta itu sementara di tepi laluan keluar di jalan utama.
"Lebih kurang 10 minit kemudian semasa hendak mengalihkan semula kereta berkenaan didapati SUV itu sudah tiada dipercayai dicuri namun kunci kereta berada pada valet berkenaan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai juru reka hiasan itu dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan ketika keluar dari pusat beli-belah terbabit jam 1.20 tengah hari lantas membuat laporan polis.
Noor Dellhan berkata, sejurus menerima laporan itu pihaknya membuat hebahan berhubung kecurian berkenaan kepada semua elemen di lapangan bagi mengesan SUV terbabit.
Tidak lama kemudian kereta yang dicuri berkenaan dikesan di sekitar USJ 1 di Subang Jaya, Selangor sebelum ditahan anggota kenderaan peronda polis (MPV) kira-kira 2.35 petang semalam.
"Suspek berusia 58 tahun berada dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan enggan bekerja sama malah cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
"Permohonan reman akan dibuat ke atas suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan dadah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu kejadian tular selepas satu hantaran dimuatnaik seorang pengguna media sosial mendakwa keretanya hilang selepas diserahkan kepada valet semasa dia singgah di pusat beli-belah terbabit.
Lelaki itu mendakwa SUV terbabit dikesan berada di sekitar Subang Jaya berdasarkan maklumat daripada peranti sistem kedudukan sejagat (GPS) pada kenderaan itu.
Suria KLCC sah kenderaan dicuri di parkir valet
Sementara itu, Suria KLCC dalam kenyataan menerusi Facebook menyebut suspek kes curi kereta di parkir valet kompleks beli belah itu sudah ditahan polis.
"Dukacita dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku di operator parkir valet Suria KLCC.
"Kenderaan yang diamanahkan kepada perkhidmatan valet telah dicuri walaupun diletakkan dengan selamat oleh pekerja valet.
"Bagaimanapun, selepas dimaklumkan, kami segera melancarkan siasatan menyeluruh dan bekerjasama dengan pihak berkuasa," kata kenyataan itu.