Lelaki ditahan isi RON95 dua kali di stesen minyak sama

oleh Penyumbang Rencana|
foto Buletin TV3
Tindakan seorang lelaki mengisi petrol sebanyak dua kali dalam tempoh sejam setengah di stesen minyak sama di Kampung Laut, di Tumpat, membongkar pembabitannya dalam kegiatan penyeludupan petrol.

Kegiatan itu dikesan selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan semakan terhadap sebuah Mitsubishi Pajero yang didapati membuat pengisian petrol secara berulang sebelum penahanan dilakukan.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, risikan dan pemantauan bersama Pasukan Polis Marin(PPM) mendapati kenderaan terbabit membuat dua kali pengisian petrol di stesen sama masing-masing pada jam 8.05 pagi dan 9.36 pagi.

“Serbuan terus dijalankan dan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan tangki yang diubah suai dengan saluran hos lebih besar daripada spesifikasi asal bagi tujuan menyimpan petrol dalam kuantiti lebih banyak.

“Pasukan penguat kuasa kemudian menyita kenderaan itu bersama kira-kira 90 liter petrol disyaki RON95, selain merampas dua keping resit pembelian minyak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Susulan penahanan itu, KPDN turut menjalankan pemeriksaan terhadap stesen minyak berkenaan kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan berkaitan larangan penjualan petrol RON95 secara berulang kepada kenderaan sama pada hari yang sama.

Menurutnya, beberapa dokumen berkaitan operasi stesen minyak itu turut disita bagi membantu siasatan lanjut termasuk lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA), Akta Kemajuan Petroleum (PDA), dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), buku stok runcit dan salinan resit jualan minyak.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM10,361.80 termasuk kenderaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Beberapa aspek melibatkan keselamatan perlu dipertingkat dan Jemaah Menteri sedang mempertimbang…
Berita Domestik
"Pelaksanaan Ops Tiris 2026 turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan perundangan…
Berita Domestik
"Kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah melibatkan 53 kru…