LELAKI ADA 32 REKOD TRAFIK DITAHAN BANTU SIASATAN VIDEO TULAR AKSI BAHAYA KANAK-KANAK

oleh Hamimah Hamid|
POLIS telah menahan pemandu kereta Mercedes-Benz berusia 37 malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan video memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kereta sedang bergerak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalthrash Wahid berkata, lelaki terbabit yang mempunyai 32 rekod kesalahan trafik ditahan pukul 9.30 malam di Sunway City, Ipoh.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Kita telah kenal pasti tuan punya kereta tersebut dan pihak polis telah menahan lelaki itu yang juga bapa kepada kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut.

“Pada saya tindakan bapa ini tidak bertanggungjawab lah, membenarkan anak-anak dia keluarkan kepala dari kereta dengan kereta sedang bergerak laju. Jadi kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 PDRM Kontinjen Perak di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Ipoh, pagi tadi.

Menurut Mior Faridalathrash, lelaki terbabit yang bekerja sebagai  ejen insurans direman dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Katanya, tiga kanak-kanak tersebut yang berumur empat, tujuh dan lapan tahun juga akan dipangggil bagi dirakam percakapan untuk tujuan siasatan.

Ujar beliau, sebaik selesai kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh lelaki terbabit.

Semalam, tular rakaman video berdurasi seminit dua saat itu di laman Facebook Info Roadblock yang menunjukkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kenderaan itu bergerak di jalan raya 

Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian.